EMOSI bercampur baur menyelubungi Konsert Insomniacks: Echoes Of A Dream apabila anggota Insomniacks tidak dapat menahan sebak mengenangkan perjalanan seni mereka selama sedekad pada malam Sabtu.
Menurut vokalisnya iaitu Iqie atau nama sebenarnya Syed Mir Iqbal, 28, usaha menyambung pelajaran dalam bidang muzik tidak sia-sia apabila dia kini berjaya membuktikan kejayaannya menerusi konsert sulung mereka.
Kata Iqie, dia sebelum ini berhenti menyambung pelajaran dalam jurusan perniagaan kerana minat dalam bidang muzik.
Iqie (kanan) bersama Iskandar menyanyi bersama.
“Keputusan itu sangat berbaloi selepas kami dapat tunjukkan kepada keluarga yang kami sudah berjaya ke tahap ini. Mereka juga boleh menikmati persembahan kami dan sekurang-kurangnya mereka ada sesuatu untuk dibanggakan.
“Saya berhenti belajar perniagaan dan masuk sekolah muzik. Sebenarnya saya macam tak tahu buat perkara lain selain muzik. Jadi saya beritahu ibu bapa yang saya hanya tahu muzik dan ingin mencuba. Ibu bapa saya setuju dan sentiasa menyokong saya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila mereka tak pernah buat apa-apa selain menyokong dan menjadi ibu bapa yang terbaik,” katanya kepada mStar.
ARTIEKL BERKAITAN: Insomniacks kurung diri sebelum konsert, janji pelbagai kejutan buat peminat
ARTIKEL BERKAITAN: Insomniacks artis tempatan paling tinggi distrim, kekal sederhana tak kejar populariti
Dalam pada itu, Iskandar atau Wan Ariff Iskandar (pemain bes) dan Danial Lee Hashim (gitar) mengakui hati mereka sangat tersentuh selepas melihat kompilasi video peminat serta keluarga yang setia menyokong mereka sepanjang 10 tahun ini.
Kata Iskandar, 28, video itu juga memaparkan insan yang menjadi tulang belakang untuk terus maju ke hadapan dalam apa jua cabaran yang mereka lalui.
“Kami tidak tahu pun mereka sediakan video itu, saya tak sangka ada ibu bapa kami di situ. Bila lihat mereka terus tersentuh hati
Persembahan bertenaga daripada anggota Insomniacks buat peminat teruja.
“Kami sudah lalui pelbagai cabaran dan sepanjang perjalanan kami sentiasa menyokong antara satu sama lain.
"Tidak kiralah apa orang kata tentang kami, tapi perjalanan itu sangat bermakna dan membawa kami sampai ke tahap ini. Ia memang luar biasa,” luahnya.
Menerusi konsert yang berlangsung selama dua jam di Zepp KL, Kuala Lumpur, Insomniacks menyampaikan 21 buah lagu antaranya Reminisensi, Kepala Batu, Pulang, Sempurna, dan Igauan Malam.
Iqie (tengah), Danial (dua dari kiri), Iskandar (dua dari kanan) bersama pemain drum dan keybord.
Konsert tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran artis jemputan seperti Nabila Razali, Killa Driz, Arif Kamaruddin serta penyanyi terkenal dari Indonesia iaitu Nabila Taqiyyah.
Seramai 2,400 penonton hadir memberi sokongan dan terhibur dengan persembahan bertenaga mereka.
Tidak hanya itu, beberapa peminat bertuah turut membawa pulang buah tangan seperti baju yang diberikan sendiri oleh anggota Insomniacks.
Malah seorang penonton bertuah mendapat telefon pintar sebagai tanda penghargaan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube