SEPANJANG 17 tahun bergelar anak seni, penyanyi Black Hanifah tidak pernah mengambil cuti sakit walaupun dalam keadaan tidak sihat.
Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah, 38, berkata sebagai seorang penghibur, dia sentiasa meletakkan tanggungjawab terhadap peminat dan penganjur sebagai keutamaan.
"Selama 17 tahun dalam dunia seni saya tak pernah ambil cuti.
Black tak pernah ambil cuti sakit sepanjang bergelar penyanyi.
“Walaupun ada surat cuti sakit daripada doktor, tapi apabila dipanggil buat persembahan saya tetap kena hadir.
“Sebagai penyanyi memang tiada alasan, kecuali hal kecemasan sahaja," katanya kepada mStar.
Menurut penyanyi Hijab Rindu ini, walaupun pernah berdepan situasi kurang bersedia, dia tetap hadir demi menunaikan komitmen yang telah dipersetujui.
"Saya sendiri terima tawaran itu dan tak pernah tak datang untuk buat persembahan.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Black Hanifah kena ‘scam’, dakwa individu lari daripada tanggungjawab urus konsert
ARTIKEL BERKAITAN: Black Hanifah jual kapal persiaran mewah, hasil duit menyanyi beli tanah ‘view’ laut di Langkawi
“Saya tetap pergi, mungkin cara nyanyian saya tak sama sahaja disebabkan keadaan ketika itu,” jelasnya.
Black turut berkongsi kerjaya seni bukan seperti pekerjaan biasa yang mempunyai waktu kerja tetap, malah menuntut masa yang panjang dan tidak menentu.
Tambah Black, kejayaan seseorang artis tidak datang dengan mudah, sebaliknya memerlukan usaha yang konsisten.
Black kerja keras untuk berjaya.
"Dalam sehari saya bekerja lebih daripada sembilan jam. Pekerjaan sebagai penyanyi ini tiada had masa.
"Orang tak nampak kesusahan tersebut, tapi bila kerja keras, hasilnya juga akan lumayan.
“Kalau malas kerja, tiadalah hasil di kemudian hari," ujarnya.
Untuk rekod, Black mula mencipta nama selepas menjuarai program realiti Mentor musim keempat pada 2009.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube