RSS Suria

20 tahun abai isteri, suami kaki judi menyesal tak sudah baca luahan hati arwah di media sosial… Harap dapat bertemu di syurga

JUDI sering bermula sebagai hiburan, namun lama kelamaan aktiviti ini mampu berubah menjadi satu ketagihan yang akhirnya menghancurkan kehidupan.

Terjebak dengan ketagihan yang sama, seorang lelaki berkongsi pengalaman dirinya sehingga dia kehilangan isteri tercinta.

Menerusi luahan yang dikongsikan di laman Facebook Muflis Bankrupt di Malaysia, lelaki yang tidak mendedahkan identiti diri itu berkata, segalanya bermula ketika bisnesnya merudum sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan dia berjinak-jinak bermain judi.

Ramai yang tidak menyedari kesan buruk akibat berjudi sehinggalah mereka diisytiharkan muflis dan hilang segala-galanya. -Gambar hiasan

“Aku main judi siang dan malam tanpa menghiraukan anak isteri serta bisnes yang aku dirikan. Aku jadi lelaki terbangsat apabila membiarkan isteri sendiri bekerja memenuhi segala perbelanjaan isi rumah dan menguruskan rumah tangga kerana aku dengan dunia aku.

“Sehinggalah aku tahu isteri berhutang dengan ceti haram dan paling terpukul bila tahu di belakang aku, isteri juga bermain judi sebab terpengaruh dengan apa yang aku buat selama ini,” luahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang lori main judi ‘online’ kantoi dengan isteri, tertidur tapi lupa ‘off’ telefon… Anggap rezeki tak berkat, punca lambat dapat zuriat!

ARTIKEL BERKAITAN: Anak sulung ‘burnout’ kerja di Singapura… Tiap bulan kirim duit beribu pada keluarga tapi bapa berhabis main judi

Bertahun-tahun terjebak, lelaki itu akhirnya nekad untuk berubah dan kembali ke pangkal jalan selepas mengalami satu mimpi ngeri yang mana dia diheret isteri sendiri ke neraka.

Walaupun tidak mudah, ujarnya, dia bermula perlahan-lahan dengan membawa keluarganya berpindah ke negeri lain dan mencari rezeki halal dengan menjadi pemandu e-hailing.

Aku jadi lelaki terbangsat apabila membiarkan isteri sendiri bekerja memenuhi segala perbelanjaan isi rumah.

PENGADU

“Aku bekerja siang dan malam bawa Grab. Selama aku tahu dia berhutang, aku tidak peluk dia dan aku biarkan isteri aku tidur keseorangan dan melayan semuanya sendiri.

“Aku lupa cara untuk memuliakan isteri, aku jahil bab agama dan tanggungjawab. Aku gagal untuk membuat isteri aku tersenyum sepanjang berkahwin dengan dia selama 20 tahun.

“Dah tiga bulan isteri aku meninggal dunia akibat kanser yang datang kerana tekanan dan aku menyesal sebab tak pernah ambil peduli dan terlambat untuk tahu,” luah bapa kepada lima cahaya mata ini lagi.

Lebih menambahkan kekesalan dan kesedihan di hati apabila dia mengetahui arwah isterinya banyak meluahkan perasaan di media sosial, hanya selepas wanita itu ‘pergi’.

“Abang minta maaf, setelah awak pergi baru abang check Facebook, TikTok awak yang banyak meluah sendiri tapi abang tak pernah tahu dan abang bersalah.

Sebahagian daripada komen netizen.

“Sekarang abang akan membesarkan anak-anak kita tanpa awak dan tiada siapa dapat ganti awak di hati abang. Abang rindu nak peluk awak. Abang gagal menjadi seorang suami yang memahami isteri.

“Semoga kita berkumpul kembali di syurga,” luahnya lagi.

Di ruangan komen, rata-rata netizen mengakui tersentuh dengan kejujuran pengakuan itu, malah ada yang mendoakan agar lelaki tersebut terus istiqamah dan tabah membesarkan lima anaknya.

Ada juga yang berkongsi pengalaman hampir serupa dan saling memberi peringatan bahawa ketagihan judi bukan sahaja boleh merosakkan diri sendiri, malah meragut kebahagiaan keluarga.

Scroll to Top