RSS Suria

5 persediaan sebelum travel ke Indonesia… Elak ‘sangkut’ di imigresen, muat turun aplikasi mudahkan perjalanan

BAGI mereka yang merancang untuk melancong ke Indonesia, ada beberapa perkara perlu disediakan lebih awal sebelum tiba di lapangan terbang negara itu.

Lima persediaan ini boleh membantu mempercepatkan urusan ketibaan anda dan mengelakkan sebarang kesulitan, terutamanya ketika lalu di bahagian pemeriksaan imigresen dan kastam.

Jadi, bagi memastikan percutian anda berjalan lancar dari saat mendarat, berikut adalah check list (senarai semak) penting yang wajib diselesaikan sebelum berlepas ke Indonesia.

1. Mengisi borang Bea Cukai (e-CD)

Borang ini merupakan borang kastam yang perlu diisi secara dalam talian.

Setelah lengkap diisi, anda akan menerima kod QR yang perlu ditunjukkan kepada pihak kastam selepas melepasi imigresen.

Borang ini boleh diakses melalui laman web rasmi Bea Cukai dan disarankan untuk diisi satu atau dua hari sebelum tarikh penerbangan.

2. Dokumen imigresen: Pasport dan Visa Exemption

Warganegara Malaysia tidak perlu memohon visa untuk memasuki Indonesia bagi lawatan tidak melebihi 30 hari, kerana Malaysia termasuk dalam senarai negara ‘visa exemption’ (pengecualian visa).

Tetapi anda masih perlu mengisi borang ketibaan dan menyediakan bukti tempahan tiket penerbangan pulang serta penginapan, sekiranya diminta oleh pegawai imigresen semasa ketibaan.

Beberapa butiran perlu diisi sebelum travel ke Indonesia. -Gambar hiasan AI

3. Aplikasi Satu Sehat (Deklarasi kesihatan)

Satu Sehat merupakan aplikasi kesihatan rasmi Indonesia yang berfungsi seakan-akan MySejahtera.

Aplikasi ini mungkin diperlukan semasa ketibaan, terutama jika terdapat sebarang isu berkaitan kesihatan awam.

Adalah disarankan untuk mendaftar dan memuat turun aplikasi ini lebih awal bagi mengelakkan kesulitan sewaktu tiba di lapangan terbang.

4. Mata wang Rupiah dan persediaan internet

Tukar mata wang Rupiah lebih awal di Malaysia untuk mengelakkan kadar tukaran yang tinggi di lapangan terbang Indonesia.

Anda juga disarankan untuk membawa sejumlah wang Ringgit Malaysia sebagai simpanan tambahan.

Bagi kemudahan internet, anda boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan roaming, eSIM, atau membeli kad sim tempatan.

5. Muat turun aplikasi Grab atau Gojek

Bagi kemudahan pengangkutan sepanjang berada di Indonesia, pastikan anda memuat turun aplikasi Grab dan Gojek.

Kedua-dua aplikasi ini menawarkan perkhidmatan pengangkutan yang mudah dan mesra pelancong.

Gojek biasanya menawarkan kadar yang lebih rendah, manakala Grab pula lebih popular dalam kalangan pelancong asing.

Scroll to Top