APABILA berlaku kematian, kebiasaannya ahli keluarga akan mengambil tanggungjawab untuk melangsaikan hutang-hutang si mati.
Namun, seorang anak tidak menyangka arwah bapanya mempunyai hutang yang masih belum dilunaskan sejak sedekad lalu.
Disebabkan terkejut, keluarga si mati mempersoalkan tindakan pemberi hutang yang secara tiba-tiba datang membuat tuntutan.
Ahli keluarga bertanggungjawab untuk menguruskan segala harta dan hutang si mati. -Gambar hiasan
Kisah itu diceritakan sendiri oleh pemberi hutang menerusi perkongsian di grup Facebook Peguam dan Pengguna Malaysia (PPM).
“Saya ada bagi pinjam duit kepada seorang rakan sekerja 10 tahun lalu. Sekarang baru berkesempatan cari semula rumahnya. Nombor telefon memang dah hilang.
“Saya berpeluang singgah dan cari rumahnya sebab pernah pergi sekali dulu. Saya mendapati penghutang sudah meninggal dunia, hanya ada waris saja iaitu anaknya.
Kalau 10 tahun boleh abaikan, maknanya anda tidak berada dalam situasi memerlukan wang.
NETIZEN
“Selepas berbincang, mereka persoalkan kenapa 10 tahun baru nak datang mencari dan minta hutang?” tulis individu itu tanpa mendedahkan bila rakan sekerjanya itu meninggal dunia.
Dalam hantaran sama, dia turut bertanya kepada mereka yang pakar dalam bidang undang-undang mengenai tindakan yang boleh diambil terhadap keluarga berkenaan.
Menerusi ruangan komen, netizen berkata sukar untuk individu berkenaan mendapatkan semula wang miliknya sekiranya tiada perjanjian hitam putih dengan si mati.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda dilema nak nikah, tunang kaki hutang tapi jenis liat bayar… Risau kena tanggung ‘loan’ isteri lepas kahwin
ARTIKEL BERKAITAN: Belanja sendiri pun sesak, isteri kerja gomen buat loan demi bayar hutang ah long adik! Suami siap sedia jadi gelandangan
Selain mengharapkan ihsan keluarga si mati untuk melangsaikannya, ada yang turut mencadangkan supaya dia menghalalkan sahaja hutang berkenaan.
“Dah jadi hutang lapuk. Kalau keluarga faham agama, memang akan bayar balik. Tuan boleh doa keluarga dia terbuka hati untuk bayar agar arwah tenang di sana.
“Kalau ikut undang-undang memang tak dapat dah. Tapi kalau ikut hukum, warisnya patut ganti.
Persahabatan dan hubungan kekeluargaan boleh terjejas disebabkan wang dan hutang. -Gambar hiasan
“Waris tertanya kenapa lama baru tuntut? Mereka pun takut kena scam, melainkan ada bukti.
“Kalau 10 tahun boleh abaikan, maknanya anda tidak berada dalam situasi memerlukan wang,” tulis netizen.
Menurut Jabatan Mufti Perlis, hutang arwah wajib dilangsaikan daripada hartanya sekiranya arwah ada meninggalkan harta, sekalipun akan menghabiskan harta yang ditinggalkannya itu.
Menjawab pertanyaan mengenai hutang si mati, ia memaklumkan bahawa waris tiada lagi hak ke atas harta yang mesti dilunaskan hutang tersebut.
“Jika arwah tiada meninggalkan sebarang harta, tidak menjadi kewajipan ke atas ahli keluarga melangsaikan hutangnya.
“Namun begitu, ahli keluarga tetap sunat membantu melangsaikan hutangnya. Ia termasuk dalam amalan soleh dan pertolongan untuk si mati di alam barzakh.
“Oleh itu, ahli keluarga tidak berdosa di atas tiada kemampuan membayar hutang (arwah) jika tidak membayar hutang si mati sekali pun mampu, apatah lagi jika tidak mampu,” menurut kenyataan itu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube