RSS Suria

Anak autisme baring hujung kaki, bapa tiri halau sambil tendang kepala! Ibu menyesal kahwin baharu, zuriat istimewa didera depan mata

BERKAHWIN dengan janda atau duda yang mempunyai anak bukan sesuatu yang mudah.

Tidak semua mampu menerima zuriat bukan daripada darah daging sendiri, lebih-lebih lagi jika masih kecil dan aktif serta lasak.

Jika berkahwin dengan individu yang tepat, maka selamatlah anak berkenaan dan amanlah rumah tangga namun jika sebaliknya ia pasti menimbulkan masalah.

Hal itu dialami seorang wanita yang mengakui kehidupannya bersama dua anak hasil perkahwinan terdahulu terseksa mental dan fizikal oleh suami baharu.

Isu berkaitan anak-anak kadang kala menjadi punca pasangan suami isteri bergaduh. - Gambar hiasan

Isu berkaitan anak-anak kadang kala menjadi punca pasangan suami isteri bergaduh. – Gambar hiasan

“Anak saya sering diperlakukan kasar dan biadab. Semalam anak saya tu baring di hujung kakinya, dia halau suruh ke tepi dengan tendang kepala budak tu.

“Ia bukan sekali tapi berkali-kali. Jadi saya tegur dan marah perbuatannya itu. Dia tidak puas hati akhirnya kami bergaduh hingga rambut saya ditarik, tangan saya dipulas, leher saya dicekik.

“Kemudian badan saya dipukul dan saya hampir ditumbuk,” katanya menerusi luahan di media sosial sambil memaklumkan sudah hampir dua tahun berkahwin dengan lelaki terbabit.

Meluahkan lebih lanjut, dia memberitahu anak pertamanya berusia sembilan tahun, manakala anak keduanya yang berusia enam tahun pula disahkan menghidap autisme serta ADHD (gangguan hiperaktif kekurangan tumpuan).

Bersama suami sekarang, dia mempunyai seorang anak berusia sembilan bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu berubah sikap lepas kahwin baru, terlebih sayang anak-anak tiri… Langsung tak kisah zuriat sendiri kena ikat perut tahan lapar

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita tetap puji suami baharunya ‘baik’ walau suka ugut, maki anak tiri! Terfikir beri si kecil kepada ex-husband

“Sejak awal perkahwinan lagi dia sering mengasari anak istimewa saya dengan tangan dan kakinya. Anak saya sering dicubit hingga merah dan lebam, dipukul, diketuk muka dan kepala serta disepak.

“Manakala anak yang pertama pula sering dimaki, dihina, diremehkan, dibuli emosi. Saya sebagai mak apabila nampak benda tu berlaku saya jadi geram, marah,” katanya.

Dakwa wanita itu lagi, anak sulungnya pernah mengalami tekanan perasaan dan kerap tertekan hingga memintanya bercerai kerana tidak tahan duduk di rumah kerana dibuli mental serta emosi.

Tambahnya, lelaki berkenaan membezakan kasih sayang dan suka membandingkan anak tiri dengan anak kandung sahaja serta menganggap kedua-dua anaknya adalah penumpang.

“Saya pernah cuba bunuh diri semasa mengandung anak dia disebabkan tekanan perasaan hidup bersama dia. Hari berganti bulan, bulan berganti tahun saya simpan masalah sendirian hingga akhirnya pada Ogos lepas saya terpaksa buka mulut bercerita pada adik.

“Dia kata nampak suami tu ada ciri narsistik dan masa itu la saya mula cari apa itu narsistik dan ya sekarang saya percaya memang dia ada masalah tersebut,” katanya.

Saya pernah cuba bunuh diri semasa mengandung anak dia disebabkan tekanan perasaan hidup bersama dia.

PENGADU

Dia mengakui buntu dan tertekan serta pernah menceritakan masalah rumah tangganya kepada mentua iaitu ibu suaminya.

“Dia kata terpulang saya nak buat apa sebab dia dah nasihat tapi anak dia yang tak berubah. Saya fikir boleh ke saya nak hadap dan bertahan selama 20 hingga 30 tahun. Mental saya betul-betul penat.

“Saya sedih sangat dengan nasib yang menimpa anak-anak. Saya rasa bersalah sebab buat keputusan dan berkahwin dengan orang yang salah dalam hidup saya,” katanya.

Mengakhiri luahannya, wanita itu berkata dia faham bukannya mudah untuk tinggal bersama anak yang sangat aktif.

Reaksi netizen.

Reaksi netizen.

Sementara itu, warga maya meminta wanita terbabit membuat laporan polis berikutan suaminya tidak dapat dikawal dan dikhuatiri kejadian buruk boleh berlaku.

“Lebam pada anak dan kamu sendiri tu boleh pergi klinik untuk ambil laporan kesihatan. Kemudian pergi balai polis buat laporan penderaan. Kalau dah banyak kali kena, banyak kali la buat laporan kes dera,” kata netizen.

“Pengalaman kita hampir sama puan, ingatkan perkahwinan kedua lebih baik tapi sebaliknya. Baru empat bulan bulan nikah dan saya tengah mengandung waktu tu saya kena bantai dengan bekas suami.

“Bertahan hanya dua tahun dan saya failkan fasakh. Terima qada qadar takdir yang Allah dah tetapkan dan cari jalan keluar dari kehidupan toksik tersebut,” luah netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top