RSS Suria

Lupa lirik bukan punca tersingkir Famili Duo 4, Mas Idayu persoal Joey tak terus jawab kritikan

SUSULAN berkecil hati dengan komen diberikan, penyanyi dan juri Famili Duo 4 (FD4) Mas Idayu mempersoalkan tindakan Joey Daud tidak memberi sebarang respons berhubung tegurannya ketika siaran langsung program tersebut.

Kata Mas Idayu, 52, tidak akan timbul sebarang kontroversi sekiranya Joey bersemuka dan terus menjawab ketika dia memberikan komen tentang persembahannya bersama Naqiu.

“Kenapa dia tidak bertanya saya terus pada malam itu? Jika bertanya perkara ini akan habis di situ sahaja.

“Dia kata tidak mahu kontroversi, tetapi bila ditanya media dia yang menjawab. Kalau tak mahu kontroversi lebih baik terus diam,” katanya kepada mStar.

mas idayu 2

Mas Idayu tiada niat untuk menjatuhkan Joey.

Mas Idayu mengulas perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharunya berjudul Harum Mekar Di Hati yang berlangsung di Red Box, The Curve, Petaling Jaya pada Khamis.

Respon itu sebagai menjawab kenyataan Joey meluahkan rasa terkilan dengan komen diterima pada malam separuh akhir FD4 yang berlangsung pada 8 Disember lalu sehingga namanya dan Naqiu diumumkan tersingkir.

Tidak hanya merasakan sudah memberi persembahan terbaik malah Joey juga menyangkal dakwaan dia terlupa lirik semasa menyanyikan lagu Terhangat Di Pasaran (KRU) dan Inilah Nasibku (Nico).

Malah Joey juga mengakui terkejut dengan penyingkiran tersebut kerana merasakan sudah melakukan bersesuaian dengan kehendak FD4.

ARTIKEL BERKAITAN: Diperli lupa lirik dan tak pernah jadi juara, Joey Daud malas bidas komen Mas Idayu

ARTIKEL BERKAITAN: Naqiu, Joey, Zahid dan Anne tersingkir di separuh akhir Famili Duo 4

Menjelaskan hal berkenaan, Mas Idayu memberitahu pemilihan hanya tiga peserta layak ke peringkat akhir adalah di luar bidang kuasanya.

Mas Idayu juga menegaskan isu terlupa lirik bukan alasan pasangan duo itu tersingkir.

“Bukan fasal lirik mereka terkeluar. Kami sebagai juri tidaklah begitu tegas tentang hal itu.

“Pada malam tersebut persembahan mereka okey sahaja. Tetapi jika mereka rasa sesuai untuk ke final, siapa yang perlu saya singkirkan? Itu persoalan dari saya.

Jika bertanya perkara ini akan habis di situ sahaja

MAS IDAYU

JURI FAMILI DUO 4

“Sebagai juri saya hanya boleh memilih tiga yang terbaik untuk final. Bukan saya yang tentukan hanya tiga layak,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mas Idayu juga menyifatkan apa terjadi hanya salah faham dan orang ramai perlu menilai selepas mendengar semula rakaman program berkenaan.

Tambahnya dia tidak ambil pusing akan kritikan orang ramai yang menuding jari kerana tidak melihat bakat sebenar Joey.

joey daud 1

Joey dan Naqiu gagal ke pentas akhir FD4.

“Jika menjadi juri pertandingan biarlah saya yang kena kecam. Saya sudah kuat selepas 12 tahun aktif menjadi juri. Cuma jangan kacau peserta,” jelasnya.

Selain Joey dan Naqiu serta pasangan duo Zahid dan Anne turut gagal menempatkan diri ke peringkat akhir.

Pentas akhir FD4 yang bakal berlangsung pada Ahad ini menyaksikan persaingan tiga pasangan duo iaitu Ayie & Salma, Tomok & Sharul serta Shika dan Ieda Zikir.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Scroll to Top