RSS Suria

Fenomena ‘Lelaki Itu’ lonjak kembali nama, Sarimah Ibrahim tak pernah hilang

SEJAK muncul menerusi drama bersiri Lelaki Itu yang menjadi fenomena dalam kalangan penonton, nama pelakon dan pengacara Che Puan Sarimah Ibrahim kembali melonjak dan menjadi sebutan ramai.

Ramai merasakan tindakan Sarimah, 46, bersetuju berlakon dalam drama berkenaan sebagai langkah bijak dalam memperkenalkan kembali namanya selepas lama menyepi.

Pun begitu kata Sarimah, dia sebenarnya tidak pernah menghilangkan diri sebaliknya perjalanan kariernya yang berubah membuatkan ramai menyangka dia menyepikan diri.

Perubahan paling ketara katanya apabila dia menerima tawaran sebagai dejaay di sebuah stesen radio berbahasa Inggeris dan jarang dapat memberi tumpuan kepada industri lakonan dan pengacaraan.

size NP 1 - 2024-05-11T123228.104

Sarimah bersyukur dengan penerimaan luar biasa terhadap drama Lelaki Itu.

“Rasanya sehingga tahun 2010 saya agak aktif termasuk bersama Akademi Fantasia. Sejurus kontrak bersama Astro tamat, saya terima tawaran jadi deejay radio dan berhijrah ke industri bahasa Inggeris.

“Saya terima tawaran itu kerana melihat ia peluang yang sangat baik. Apatah lagi ketika itu saya memang mahu menyimpan lebih banyak wang untuk diri sendiri dan membeli rumah.

“Selepas kontrak tamat saya berhijrah ke stesen radio lain selama dua tahun. Saya tak hilang cuma jarang muncul dalam industri pasaran Melayu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekali lagi angkat genre seram, produksi tampil gabungan pelakon Indonesia-Malaysia dalam ‘The Parcel’

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Geng Kubur’ jentik memori lalu, kisah 4 sahabat main psikologi penonton

“Sepanjang bergelar deejay, Alhamdulillah saya dapat kembangkan pengikut dalam kalangan pelbagai bangsa. Cuma mungkin peminat Melayu saya hilang kerana mungkin mereka tidak mendengar siaran radio berbahasa Inggeris,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Sarimah berkata, dia mula berehat daripada industri seni selama dua tahun pada 2015 selepas mendirikan rumah tangga.

Kata Sarimah, sepanjang tempoh itu juga dia dan suami fokus dalam usaha mendapatkan cahaya mata sebelum disahkan hamil pada 2018.

size NP 1 - 2024-05-11T123243.647

Sarimah mahu kembali aktif selepas berehat sejak 2015 kerana fokusnya pada keluarga.

“Saya tinggalkan dunia radio untuk fokus kepada rumah tangga dan Alhamdulillah saya hamil.

“Ada juga saya buat beberapa kemunculan sebagai pengacara dan selepas bersalin, dunia pula dilanda Covid-19 yang membuatkan karier saya kembali perlahan,” jelasnya.

Untuk rekod, Sarimah mendirikan rumah tangga dengan Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, cucunda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10 pada 2 April 2015.

Mereka juga dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Tunku Sofia Najihah yang kini berusia empat tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Scroll to Top