RSS Suria

“Rasa macam nak melompat” – Kenangan diminta ke rumah Sharifah Aini terpahat dalam memori Ellie Suriaty

JIKA sebut nama Ellie Suriaty pasti ramai di antara kita akan teringat akan wataknya sebagai Pah Bedah dalam drama bersiri Orang Gaji yang ditayangkan 20 tahun lalu di TV3.

Lakonannya yang bersahaja dengan loghat Perak yang pekat cukup menjadi dan membuatkan wataknya meninggalkan kesan sehingga ke hari ini.

Namun bakat luar biasa pelakon berusia 53 tahun ini tidak perlu lagi dipertikaikan malah cukup banyak lakonannya dalam drama serta filem yang cukup meninggalkan kesan.

Tidak hanya berbakat besar di hadapan kamera, Ellie kini lebih dikenali sebagai pengarah malah pernah menerima pengiktirafan menerusi trofi Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) menerusi filem Penanggal pada 2014.

682D2820-B750-4DA0-A733-74D39BAD8ED7

Elly banyak kenangan manis bersama Allahyarham Sharifah Aini ketika mengarahkan filem Penanggal.

Mengimbau kenangan mengarahkan Penanggal, peluang bekerjasama dengan Allahyarham Biduanita Datuk Sharifah Aini dalam filem berkenaan terpahat di dalam hatinya.

Imbaunya, tidak mudah memujuk arwah untuk berlakon memandangkan Sharifah Aini sudah 25 tahun tidak berlakon dan teruja apabila penyanyi berkenaan bersetuju.

“Bayangkan saya dapat mengarahkan Sharifah Aini dalam filem Penanggal. Itu adalah lakonan pertama dan terakhir Allahyarham selepas 25 tahun.

“Ia satu penghormatan besar buat saya sebagai pengarah kerana tidak ramai berpeluang bekerjasama dengan arwah,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ellie Suriaty bantu urus perkahwinan Azri Iskandar, pegang janji arwah nenek walau dah bercerai

ARTIKEL BERKAITAN: Ellie Suriaty jumpa kekasih Azri Iskandar, puji wanita berstatus Datuk cantik luar dan dalam

Cerita Ellie, dia diminta untuk datang sendiri ke banglo milik Allahyarham di Petaling Jaya untuk berbincang mengenai tawaran diberikan.

Katanya, itu syarat diletakkan Sharifah Aini sebelum memberi sebarang jawapan kerana ingin mendengar sendiri pemilihannya untuk watak diberikan.

“Ketika tawaran dibuat, arwah ada tanya produksi mana, siapa pengarah… Apabila dia tahu saya akan mengarah Penanggal terus beliau minta datang ke rumahnya.

“Saya pergi ke banglo miliknya di Petaling Jaya dan di situ arwah bertanya kenapa pilih dia sebagai pelakon filem tersebut.

Ia satu penghormatan besar dapat bekerja dengan Sharifah Aini.

ELLIE SURIATY

PELAKON & PENGARAH

“Ketika itu saya beritahu penampilannya dalam filem itu sangat penting dan arwah beritahu dia sedia maklum tapi mahu tengok wajah saya terlebih dahulu sebelum bersetuju,” ceritanya.

Menurut Ellie, dia sangat gembira apabila Sharifah Aini menerima tawaran tersebut tanpa sebarang syarat ketat semasa pertemuan itu.

Malah menyifatkan mengarahkan seorang figura hebat seperti Allahyarham di set penggambaran sangat menyenangkan kerana Sharifah Aini sangat profesional.

“Bayangkan arwah pula yang berterima kasih kepada saya sebab sudi tawarkannya berlakon. Ketika itu saya rasa macam nak melompat dalam rumah dia! Bila di set penggambaran pula, Masya-Allah sangat mudah bekerjasama dengannya,” imbaunya.

7i_elliesuriatythankful00

Elly memenangi trofi Pengarah Harapan di FFM26.

Untuk rekod, Sharifah Aini meninggal dunia pada 5 Julai 2014.

Penanggal turut membariskan pelakon hebat seperti Ummi Nazeera, Azri Iskandar, Fasha Sandha, Zul Ariffin dan Normah Damanhuri, Latiff Borbiga dan Josiah Hogan.

Filem berkenaan mendapat kutipan RM3 juta di pawagam dan pengarahan Ellie turut mendapat pujian.

Ellie dipuji kerana menghasilkan filem seram dengan sentuhan tersendiri selain menggabungkan tiga budaya iaitu Melayu, Arab dan Jawa dalam jalan ceritanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Scroll to Top