RSS Suria

Tiba-tiba mainan ‘hinggap’ di mata kiri! Pemuda terkejut nampak darah, lendir mengalir serta-merta… Kini buta sebelah selamanya

INSIDEN kecil yang berlaku sembilan tahun lalu akhirnya meragut sebelah penglihatan jejaka ini buat selama-lamanya.

Ketika kejadian itu berlaku, Harith Luqman Ismail, 29, masih bergelar seorang pelajar di sebuah kolej tidak dinyatakan.

Segalanya berubah dalam sekelip mata selepas insiden yang tidak disangka-sangka berlaku di kediamannya di Johor Bahru, Johor.

“Masa tu baru habis cuti semester, saya balik rumah. Ramai saudara-mara datang berkumpul. Ada seorang budak kecil tu tak sengaja terbaling barang permainan keras.

Jejaka ini mengalami pendarahan bahagian mata kiri sebelum disahkan buta sebelah.

“Benda tu kena tepat ke arah mata kiri saya. Rasa pedih dan ‘berbisa’. Saya hanya mampu menahan sakit selama 15 minit dengan tutup mata yang terkena tu

“Lepas saya buka tangan, ada darah dan lendir keluar dari mata saya. Masa tu terus saya dibawa ke hospital,” cerita Harith ketika dihubungi mStar.

Setelah diperiksa, doktor mengesahkan bola mata kirinya mengalami kerosakan teruk akibat impak kuat sehingga menyebabkan saraf mata terputus.

“Masa tu memang saya tak boleh terima kenyataan. Doktor kata saya tak akan dapat melihat dengan mata kiri lagi.

ARTIKEL BERKAITAN:Takut terlepas ‘exit’ Tapah, lelaki buta huruf minta tolong tunjuk jalan… Ramai sayu nampak penunggang ini bawa beg pakaian besar

ARTIKEL BERKAITAN: Gelagat lelaki buta ‘teropong’ pintu surau guna telefon undang sebak… Isteri sedih, baru tahu cara suami OKU berdikari

“Kehilangan nikmat melihat dengan mata kiri itu buatkan saya sangat tertekan,” ujar anak ketiga daripada empat beradik itu.

Harith mengakui tempoh dua tahun selepas kejadian itu adalah fasa yang paling sukar dalam hidupnya.

Dia yang dahulunya aktif bersukan di kolej, hanya mampu menyaksikan rakan-rakan beraksi dari tepi padang semata-mata.

Lebih mencabar lagi, dia turut menghadapi kesukaran untuk memandu kereta kerana penglihatannya terhad.

Apa yang berlaku ni memang ujian berat, tapi saya belajar untuk terus bersyukur.

HARITH LUQMAN

“Sebelum ni, tiap malam saya main futsal dekat kolej. Tapi lepas kejadian tu, saya kena berehat lama. Apabila nak bersukan pun, saya cuma boleh pilih aktiviti tak lasak saja.

“Jika terkena cahaya kereta pun akan bagi kesan, sampai saya pening kepala. Tapi sekarang dah okey sebab saya sudah terbiasa,” katanya.

Walaupun berdepan dengan rasa hilang keyakinan diri, Harith tetap meneruskan pengajian sehingga berjaya mendapatkan ijazah.

Kini, Harith bangkit dengan semangat baru dan menjalankan perniagaan nasi berlauk yang diberi nama Black Mamba.

Harith seorang yang aktif bersukan sebelum insiden meragut penglihatannya.

Perniagaan yang diusahakannya sejak lima tahun lalu di Jalan Padi Emas, Johor Bahru itu menjadi sumber rezeki utamanya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sebab walaupun ada kekurangan, saya masih mampu berdikari. Apa yang berlaku ni memang ujian berat, tapi saya belajar untuk terus bersyukur.

“Kepada yang senasib dengan saya, tabahlah. Memang tak mudah nak lalui cabaran hidup ni tapi percayalah, kita juga boleh membanggakan orang lain satu hari nanti.

“Paling penting… buang yang keruh, ambil yang jernih. Semua ni adalah takdir, dan kita perlu bersyukur dengan nikmat yang masih ada,” ujarnya menutupi kisah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top