RSS Suria

Rancang majlis kahwin ala ‘open house’, wanita tak mahu naik pelamin… Paling penting tetamu dapat makan sedap!

BAKAL pengantin pastinya mengharapkan majlis perkahwinan impian mereka berlangsung dalam suasana meriah dan diingati.

Selain mementingkan kesempurnaan, faktor kos turut diambil kira bagi merealisasikan hasrat itu.

Enggan memeningkan kepala, seorang pelayar di media sosial bercadang untuk melakukan majlis perkahwinan secara sederhana, berkonsepkan rumah terbuka.

Apa yang dimaksudkannya adalah tanpa perlu persiapan rapi daripada segi busana pengantin, khemah untuk majlis sehingga ke pelamin.

Ramai tetamu hadir memeriahkan majlis. -Gambar hiasan

“Boleh tak kalau kahwin buat nikah je, lepas tu buat majlis macam open house? Tak ada pelamin, bridesmaid, baju songket segala benda berkaitan wedding.

“Hanya makan-makan santai dan balik. Sebabnya tiada siapa pun akan ingat majlis kahwin awak tu sebagai wedding of the year,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial.

Namun menurut wanita itu, meskipun majlis diadakan secara ringkas tetapi perlu diberi penekanan pada aspek juadah yang hendak dihidangkan kepada para tetamu.

“Orang datang hanya nak makan makanan sedap je,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Duit majlis kahwin nak kongsi, tapi jemputan pengantin perempuan terhad… Bakal mentua risau saudara-mara sendiri tak cukup makan

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin perempuan tak kisah ‘cut’ bajet kenduri kahwin… Menangis ayah minta RM10,000, berangan nak buat majlis gah

Menerusi ruangan komen, rata-rata warga maya bersetuju dengan konsep majlis rumah terbuka dengan menyediakan makanan yang enak dan mencukupi.

“Boleh je. Saya nikah di masjid, lepas tu terus kenduri makan-makan. Tak ada pelamin, hanya duduk sekejap untuk bergambar satu famili. Lepas makan layan tetamu yang hadir. Tak ada muzik. Alhamdulillah dapat menyantuni semua tetamu.

“Saya buat nikah je, memang jimat banyak. Sebab lepas kahwin lagi nak guna duit banyak. Alhamdulillah dua-dua belah keluarga okay dan sangat sporting. Alhamdulillah juga sampai hari ni bahagia je.

Saya buat nikah je, jimat banyak. ALepas kahwin lagi nak guna duit banyak.

WARGA MAYA

“Kenapa tidak? Bukan wajib pun, mahal kos buat wedding semua tu. Wajib hebahkan kat orang je. Hanya budaya kita nak menunjuk dan mengumpat belakang kalau buat simple.

Pengantin mahu menjimatkan kos majlis perkahwinan. -Gambar hiasan

Sementara itu, seorang netizen memaklumkan bahawa pasangan pengantin yang mengadakan majlis persandingan di pelamin kerana mahu mengabadikan kenangan, dan bukannya hendak digelar sebagai perkahwinan yang paling hebat.

Sudahnya, pengantin yang tidak berkesempatan untuk meraikan hari bahagia di pelamin kemungkinan melakukan sesi fotografi semula dan kali ini di atas pelamin.

“Beberapa bulan kemudian, (pengantin) akan request… minta tolong edit gambar saya dan suami atas pelamin. Kami ni kahwin ‘koboi’ je. Teringin nak sanding atas pelamin,” katanya secara sinis.

Difahamkan sindirannya itu merujuk kepada trend masa kini apabila wujud permintaan dalam kalangan pengantin supaya foto perkahwinan mereka disunting untuk memasukkan pelbagai latar belakang termasuk pelamin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top