BERAT badan berlebihan atau obesiti bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan tubuh badan, tetapi boleh mengganggu kelancaran untuk menunaikan solat.
Disebabkan itu, kita digalakkan untuk mengawal berat badan bukan hanya demi kesihatan bahkan untuk tujuan beribadah.
Menyentuh soal berat badan juga, mungkin tidak ramai dalam kalangan kita yang menyedari bahawa perkara tersebut sebenarnya mengundang kesan besar apabila meninggal dunia kelak.
Menerusi satu hantaran di laman sosial, seorang pelayar berkongsi kisah ketika mengikuti kursus pengurusan jenazah yang ternyata menginsafkan dan membuatkan dia membuka mata.
Obesiti bukan hanya memberi kesan kepada kesihatan, tetapi mengganggu kelancaran beribadah. -Gambar hiasan
“Aku ada kursus mandikan jenazah. Aku tanya secara santai pada team itu… apa dugaan paling besar yang anda pernah dapat?.
“Mereka pandang satu sama lain. Sangkaan aku mereka akan cakap kisah-kisah seram tentang anak derhaka, isteri nusyuz, suami dayus.
“Tapi bagi mereka, dugaan paling besar apabila jenazah tu obesiti. Ujian buat si mati dan ujian buat yang menguruskan sebab perlu kudrat yang sangat kuat untuk uruskan,” tulisnya dalam perkongsian berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Saksi keajaiban ketika urus mayat dah lama meninggal, pakar forensik siasat latar belakang si mati – “Tiada bau busuk, tak berulat”
ARTIKEL BERKAITAN: Sedih ibu baru meninggal, anak tak sangka pihak masjid tiada toleransi… Desak bayar segera kos urus jenazah
Tambah pelayar tersebut, dia turut diberitahu bahawa urusan memandikan jenazah perlu dilakukan dengan cermat dan amanah agar tidak menganiaya mahupun mengaibkan si mati.
“Aku terus tak mampu nak telan makanan sekarang. Awak muda-muda, jagalah badan, jaga kesihatan.
“Fikirkan apabila kita tak ada di dunia kelak. Badan kamu amanah Allah,” tulisnya.
Hidup jangan susahkan orang, bila dah tak ada pun harap tak susahkan orang.
NETIZEN
Tidak berniat mahu memalukan sesiapa, pelayar berkenaan menegaskan perkongsian yang dibuat hanya sekadar mahu menasihati diri sendiri dan orang lain agar dapat dijadikan teladan bersama.
“Ambil nasihat ini dengan hati terbuka. Mereka (pasukan pemandi jenazah) tak shaming pun.
“Ini bukan isu hina dan shaming. Ambil yang baik dalam teguran tersebut,” kongsinya lagi.
Di ruangan komen, rata-rata warga maya turut menyuarakan pandangan yang senada.
Dalam pada itu, ada dalam kalangan mereka berkongsi pengalaman masing-masing ketika menguruskan jenazah untuk dijadikan iktibar.
“Antara dugaan lagi besar, menahan diri daripada mengata jenazah. Lagi-lagi dapat jenazah orang tua yang dah bedridden. Mampu beristighfar supaya diberikan kesabaran tinggi.
“Betul… dapat yang berbadan besar dan bedridden, letih gila nak sponging (mengelap badan) dan tukar lampin pakai buang.
“Inilah yang saya ingatkan diri sendiri setiap hari. Hidup jangan susahkan orang, bila dah tak ada pun harap tak susahkan orang,” komen netizen.