RSS Suria

Penjual keropok lekor buka semula gerai dah ditutup demi seorang pelanggan, lemah dengar alasan ‘anak-anak’

KEBANYAKAN peniaga sentiasa memikirkan cara untuk berbakti semula kepada masyarakat selain mencari keuntungan dalam urusan jual beli.

Begitu juga dengan peniaga keropok lekor di Sungai Choh, Rawang di Selangor ini yang sanggup membuka semula kedainya yang telah ditutup demi memenuhi permintaan pelanggan.

Menurut peniaga tersebut yang dikenali sebagai Diana, seorang pelanggan lelaki ini datang selepas kedainya ditutup dan memberitahu bahawa anak-anaknya tertunggu-tunggu kepulangannya membawa keropok lekor berkeju.

Perkongsian Diana di TikTok.

“Kedai sudah tutup sebenarnya, tapi pelanggan ini datang dan cakap anak-anaknya teringin sangat nak makan keropok lekor cheese.

“Nak datang awal sebelum tutup kedai tak sempat sebab selalu balik kerja lambat. Saya lemah kalau bab anak-anak ni,” katanya dalam satu hantaran di TikTok.

Menurut Diana, ketika itu semua barang-barang niaga sudah pun dicuci dan siap dikemas.

Bagaimanapun, tanpa berfikir panjang dia terus memasang semula gas dan memanaskan minyak untuk menggoreng keropok lekor untuk pelanggan berkenaan.

Walaupun stok keju sudah habis, dia sanggup menyediakan semula bahan berkenaan demi tidak menghampakan anak-anak pelanggan lelaki tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga bengang pembeli melebih-lebih minta diskaun, tak fikir orang cari rezeki – “Duit tak ada tapi selera tinggi!”

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga ‘crush’ pelanggan cun selalu datang gerai… Teruja dapat tukar nombor telefon, tapi ‘down’ lepas tengok status

“Barang-barang kedai sudah basuh pun saya sanggup guna semula,” tambahnya.

Menerusi video yang menunjukkan Diana sedang menggoreng keropok lekor, kelihatan pelanggan itu yang menaiki motosikal setia menunggu di luar gerai.

Peniaga itu menjelaskan, dia melakukan semua ini kerana memahami bagaimana perasaan anak-anak yang ternanti-nanti kepulangan bapa membawa pulang makanan kesukaan mereka.

Anak saya pun menanti ayah mereka balik kerja bawa makanan.

NETIZEN

Diana membuat penjelasan itu sebagai membalas salah satu komen warga maya yang memuji usahanya.

“Saya sendiri pernah mengalami situasi yang sama sebelum ini, sebab itu saya tidak berkira untuk berbuat demikian.

“Saya faham perasaan seorang ayah yang ingin menggembirakan anak-anaknya,” katanya.

Menurut Diana, terpancar keceriaan di wajah si bapa ketika menerima bungkusan keropok lekor yang telah siap digoreng, seolah-olah tidak sabar melihat anak-anaknya menikmati hidangan tersebut.

Diana turut membalas beberapa komen netizen.

Hantaran dikongsikan wanita ini mendapat perhatian warga maya yang rata-rata tersentuh dengan kesungguhan dan keikhlasannya terhadap pelanggan.

Malah, ada juga beberapa netizen yang berkongsi pengalaman mereka di ruangan komen menceritakan pengalaman mereka sebelum ini.

“Anak saya pun menanti ayah mereka balik kerja bawa makanan. Tak sempat beli makanan sangat kadang tu singgah beli susu kotak seorang sekotak pun tak apa dah.

“Gembiranya anak-anak tu macam tak pernah dapat sebelum ini. Kita pun macam tu la dulu masa zaman kecil,” ujar seorang netizen.

Scroll to Top