KEMUNCULAN ‘Sirih Pulang Ke Gagang’ sebagai pemenang kategori Lagu Terbaik pada Anugerah Carta 114 yang berlangsung pada malam Sabtu cukup mengejutkan kumpulan UNIC.
Mana tidaknya, vokalis UNIC iaitu Fitri Haris mendedahkan mereka tidak berpeluang menjalani latihan bersama atas kekangan masa.
Kata Fitri, dia yang baru sampai dari United Kingdom Jumaat lalu hanya sempat berlatih bersama semua anggota UNIC dalam kereta sebelum bertanding.
UNIC dinobatkan sebagai pemenang kategori Lagu Terbaik.
“Jujurnya perasaan kami bercampur-baru dan macam tak percaya. Kami bersatu buat pertama kali malam ini sebab masing-masing ada komitmen sendiri.
“Malah saya sendiri baru sampai dari United Kingdom semalam dan bagi kami kemenangan ini adalah rezeki daripada-Nya.
“Kami sempat berlatih sama dalam kereta. Apa-apa pun, inilah bukti 23 tahun keserasian yang dapat kami capai walaupun jarang bersama,” katanya.
Kemenangan itu membolehkan UNIC membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai berjumlah RM20,000 berserta trofi.
ARTIKEL BERKAITAN: UNIC Hafal Rap Sampai Dalam Mimpi
ARTIKEL BERKAITAN: Ikut ‘Laluan Tikus’ Punca Unic Ditahan Pihak Berkuasa Turki
Selain hadiah utama, kumpulan nasyid yang turut dianggotai oleh Bazli dan Fakhrul itu berjaya membawa pulang trofi Vokal Terbaik berserta wang tunai RM10,000 dan trofi.
Sebanyak tiga kategori dipertandingkan pada malam tersebut iaitu Lagu Terbaik, Vokal Terbaik dan Persembahan terbaik.
Sementara itu, lagu Abu Ubaidah nyanyian kumpulan Darwish memenangi kategori Persembahan Terbaik dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000 berserta trofi.
Anugerah Carta 114 merupakan terbitan TV AlHijrah
Anugerah Carta 114 terbitan TV AlHijrah berlangsung di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur dan merupakan kali kedua penganjurannya.
Acara itu turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan nasyid legenda iaitu Rabbani yang menyampaikan beberapa buah lagu popular mereka.
Selain UNIC dan Darwish, lima peserta lain yang berentap di Anugerah Carta 114 termasuk Kumpulan Rabithah, Kumpulan Madinah, Haadi, Idris Shamsuddin, dan duo Halim Ahmad dan Aiman Sidek.
Anugerah Carta 114 dijurikan tiga juri profesional yang diketuai oleh Farihin Abd Fatah, Amran Omar dan Razin Mestica.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!