RSS Suria

Tiada keperluan bekas anggota guna nama sama, Search jenama patut dihormati

PEMAIN bass Search iaitu Nasir Daud menegaskan tidak ada keperluan untuk nama kumpulan itu digunakan bekas anggotanya.

Menurut Nasir, 65, cadangan peminat itu tidak seharusnya diambil perhatian kerana menyifatkan nama Search itu patut dihormati.

Katanya lagi, jika Search ingin mencari pelapis bagi meneruskan legasi kumpulan itu suatu hari nanti mereka boleh lakukan sendiri.

“Saya rasa cadangan itu tidak perlu diberi perhatian kerana perkara ini tidak pernah berlaku. Saya rasa di Malaysia ini banyak melakukan perkara yang pelik-pelik.

search2 - 1

Nasir (kanan) dan Amy enggan mengulas lanjut isu royalti.

“Jadi kita lupakan sahajalah. Saya rasa tak sesuai untuk menggunakan nama Search.

“Kalau Search nak groom (latih) generasi kami, kita akan pilih bakat baharu yang mana mereka boleh meneruskan legasi Search,” katanya kepada mStar.

Nasir berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Damansara pada Khamis.

Dalam pada itu, Nasir memberitahu Search bukan satu jenama yang sewenangnya untuk digunakan, malah kumpulan itu adalah satu institusi yang sepatutnya mendapat penghormatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Amy Search berehat sepanjang Syawal, imbau kenangan tak dapat balik raya

ARTIKEL BERKAITAN: Paduan vokal Amy dan Naim Daini curi tumpuan, konsert Fantasia Bulan Salju bukti Search masih berbisa

Kata Nasir, mereka mahu mengambil pendekatan yang lebih baik dengan membuat lawatan ke institusi pengajian bagi berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang muzik.

“Search bukanlah jenama pakaian yang boleh disarung. Kumpulan ini adalah satu institusi yang dijadikan rujukan dan tolong hormat.

“Saya rasa lebih baik dan ilmiah kalau Search pergi ke kolej-kolej atau universiti untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama generasi baru.

“Kami boleh kongsikan bagaimana Search dapat bertahan hampir lebih dekad. Saya rasa cara itu lebih baik, sistematik dengan turut ke institusi-institusi pengajian,” ujarnya.

Kalau Search nak groom (latih) generasi kami, kita akan pilih bakat baharu yang mana mereka boleh meneruskan legasi Search.

NASIR DAUD

PEMAIN BASS SEARCH

Ditanya soal isu royalti daripada album Rockology Search: Kid’Din Collection yang dikeluarkan pemain gitar adik-beradik, Din dan Kid tanpa pengetahuan Search (Nasir, Amy, Man dan Hillary), Nasir enggan mengulas lanjut berkenaan perkara tersebut dan mahu menyelesaikannya dengan saluran yang betul.

“Kami tidak mahu beri sebarang komen berkenaan isu tersebut. Bukan untuk mengabaikan tentang perkara ini tapi biarlah kita rehat untuk sementara waktu.

“Biarlah perkara ini dapat diselesaikan dalam saluran yang betul. Saya tidak kata nak bawa isu tersebut ke mahkamah tetapi dapat diselesaikan dengan baik.

“Perkara ini pun sudah viral semua orang dah tahu. Saya pun tak mahu sentuh kerana enggan isu ini jadi melarat,” katanya.

Sebelum ini, vokalis Search iaitu Datuk Amy meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Din dan Kid yang mengeluarkan album Rockology Search: Kid’Din Collection tanpa pengetahuan kumpulan berkenaan.

search1 - 1

Search bakal beraksi di Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur pada September depan.

Kata Amy, tindakan mereka disifatkan keterlaluan, sekali gus tidak menghormati perjuangan kumpulan rock legenda itu.

Malah Amy turut mempersoalkan royalti album yang sepatutnya menjadi hak bersama.

Dalam perkembangan lain, Search akan mengadakan Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 21 September depan di Mega Star Arena Kuala Lumpur.

Konsert anjuran Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PRGM) itu bakal menyaksikan Search mempersembahkan lagu-lagu popular mereka, menggabungkan muzik Rock dan orkestra dan diiringi 30 pemuzik orkestra.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Scroll to Top