LEBIH lima tahun terlibat dengan program amal, pelakon Putra Amaris perlu berdepan pelbagai cabaran termasuk mendapatkan kerjasama daripada pelbagai pihak.
Bukan mengungkit tetapi Amaris atau Md Amran Ismail, 40, menjelaskan setiap dugaan datang dengan seribu hikmah yang menjadi pembakar semangat untuk terus membantu golongan memerlukan.
“Banyak perkara saya lalui sepanjang melakukan kerja amal namun biarlah saya simpan sendiri.
“Lebih baik saya bercakap benda yang baik sahaja supaya lebih banyak kebaikan akan datang.
Amaris sentiasa berfikir positif ketika berdepan cabaran.
“Setiap cabaran itu ada hikmah tersendiri dan saya sentiasa ingatkan diri sendiri agar betulkan niat yang semua dilakukan ini adalah kerana Allah SWT,” katanya kepada mStar.
Bagi Amaris, setiap amal kebajikan dilakukan dapat memberi satu kepuasan apabila dapat meringankan beban orang sekeliling.
Malah Amaris sanggup memperlahankan kerjaya seni untuk memberi fokus kepada program Kongsi Rezeki yang telah diusahakan sebelum ini.
ARTIKEL BERKAITAN:Nak beli susu anak pun tak mampu, Putra Amaris kenang zaman hidup susah… Teruskan program infaq bantu orang memerlukan
ARTIKEL BERKAITAN:Putra Amaris timang cahaya mata kedua, pilih nama Putra Arshaq
“Saya ambil kesempatan ketika usia masih muda dan sihat untuk membantu orang. Dalam kerja-kerja amal ini saya bukanlah seorang selebriti tetapi sukarelawan.
“Melihat orang lain tersenyum menerima bantuan ia bagaikan satu kepuasan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” katanya.
Malah amalan bersedekah yang dibuat kedua-dua Allahyarham ibu bapanya sebelum ini turut menjadi contoh agar dia dapat terus berbuat baik.
Melihat orang lain tersenyum menerima bantuan kepuasan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
PUTRA AMARIS
PELAKON
“Sejak kecil ibu bapa sudah ajar untuk sentiasa bersedekah. Allahyarham bapa juga selalu pesan kalau ada wang lebih, infaq sebahagian daripadanya untuk golongan memerlukan.
“Arwah juga pernah bantu mendirikan surau dan saya yakin pahala daripada amalan itu akan berterusan,” ceritanya.
Sekali lagi menggerakkan Program Kongsi Rezeki : Infaq Ramadan 2025, Amaris bersama pasukannya menyasarkan lebih mendapat manfaat.
Program Kongsi Rezeki yang digerakkan Amaris.
Ini termasuk daripada program Tahfiz Berselawat yang bakal berlangsung pada 15 Mac ini di Warung Pagi-Pagi dan 22 Mac 2025 di Saloma, Kuala Lumpur.
“Hasil jualan tiket program Tahfiz Berselawat nanti akan diserahkan sepenuhnya kepada sebuah pusat tahfiz dan badan kebajikan berkaitan kanser.
“Alhamdulillah ramai tampil membantu dan bekerjasama termasuk memberi sumbangan van jenazah malah ada datang sebagai sukarelawan bagi menggerakkan program ini,” jelasnya.
Enggan bersendirian dalam projek berkenaan, Amaris turut mengajak mana-mana individu termasuk badan korporat sama-sama menjayakan program amal ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!