RSS Suria

Tak mampu bagi wang, pemuda kampung buat tongkat beroda untuk murid OKU… Teringin serah sendiri tapi tiada bajet

SEORANG ibu gembira melihat anak ke sekolah meskipun terpaksa berjalan menggunakan empat anggota badan serentak, dengan dua tangan disarungkan selipar.

Buat masa ini, itulah saja pilihan yang ada untuk memudahkan pergerakan murid prasekolah, Muhammad Shairid Hadif Ridhuan Shah yang berusia lima tahun.

Ibu kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) itu, Siti Azah Mohd Jinal, 38, mengharapkan bantuan mana-mana pihak menyumbangkan tongkat beroda ditempah khas mengikut ketinggian anaknya yang dilahirkan tanpa lutut dan betis.

Ibu Shairid bersama anak bongsunya.

Video TikTok menunjukkan murid OKU yang mesra disapa Shairid itu mencuba tongkat beroda di sebuah hospital menjentik hati seorang pengusaha bengkel besi, Muhd Idrus Harun untuk menyalurkan bantuan.

Muhd Idrus bukan menyumbangkan wang ringgit, sebaliknya kudrat, tenaga dan kreativiti bagi menghasilkan tongkat beroda khusus untuk murid yang menetap di Felda Bukit Easter di Kota Tinggi, Johor.

“Saya tengok video Shairid yang cuba tongkat beroda kat hospital tu. Bila baca di ruangan komen, ramai yang nak bantu beri duit tapi tak ada orang nak buatkan.

“Saya fikir, dok perhati apa yang buat kat tongkat tu, apa yang susah. Alhamdulillah, benda ni tak ada lah susah sangat nak buat,” katanya ketika dihubungi mStar.

Tongkat beroda diperbuat daripada kelulitahan karat.

Belajar dari video YouTube, bekas kakitangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu menghasilkan sendiri tongkat beroda mengikut ketinggian Shairid dalam masa beberapa hari.

ARTIKEL BERKAITAN:Tertonggeng-tonggeng berjalan dengan selipar di tangan… Murid OKU ini teringin miliki tongkat beroda sendiri, mudah nak ke sekolah

ARTIKEL BERKAITAN:Tangan pakai selipar, ramai sayu tengok semangat murid OKU ke sekolah! Ibu tak kisah apa kata orang, mahu anak berdikari

“Ukuran ketinggian Shairid diperoleh daripada ibunya, termasuk tinggi paras pinggang dia untuk buat tongkat tu. Saya belajar buat dari video YouTube selain melihat arwah ayah yang sebelum ni buat kerja-kerja kampung.

“Di bengkel besi ni saya banyak buat awning dan grill untuk binaan rumah. Pernah juga buat troli, tapi ini pertama kali saya buat tongkat,” ujarnya yang mengusahakan bengkel di Padang Serai di Kulim, Kedah.

Tongkat beroda yang sudah siap sepenuhnya.

Berasal dari Alor Setar, Idrus menjelaskan bahawa tongkat beroda yang membabitkan kos kira-kira RM500 tersebutturut dihasilkannya untuk mengurangkan bebanibu tunggal yang membesarkan lima anak termasuk murid OKU itu.

“Saya tergerak hati nak tolong sebab saya sendiri bukan orang senang. Ada bengkel besi pun bukannya besar, dalam kampung je.

“Tolong dari segi duit tak mampu, tapi dari segi kudrat dan kemahiran yang saya boleh bantu,” kata bapa kepada tiga anak perempuan tu.

Tolong dari segi duit tak mampu, tapi dari segi kudrat dan kemahiran yang saya boleh bantu.

MUHD IDRUS HARUN

Mengenai tongkat beroda tersebut, Idrus memaklumkan ia dibuat daripada keluli tahan karat, membolehkan murid OKU itu menggunakannya ke mana-mana.

“Kalau adik Shairid nak bawa ke tandas pun tak ada masalah. Moga dengan tongkat beroda ni, Shairid lebih bersemangat dan seronok untuk ke sekolah.

“Saya dah kahwin 13 tahun, belum dikurniakan anak lelaki. Melihatkan semangat Shairid, saya pesan pada anak-anak perempuan supaya rajin pergi sekolah. Jika Shairid boleh, mereka juga boleh,” katanya.

Idrus berharap dapat menyerahkan sendiri tongkat beroda kepada Shairid.

Menurut Idrus, tongkat beroda yang sudah siap dan melalui ujian percubaan hanya menunggu masa untuk diserahkan sendiri kepada kanak-kanak itu.

“Saya berhasrat untuk turun padang ke Kota Tinggi untuk serahkan sendiri tongkat beroda kepada Shairid. Tapi perjalanan dari Kedah ke Johormemerlukan kos seperti duit minyak dan tol.

“Saya bukan orang senang tapi saya senang hati untuk menghadiahkan tongkat beroda ini buat adik Shairid,” katanya.

mStarsebelum ini melaporkan kisah Shairid yang menghidap sindrom caudal regression (CRS) itu begitu bersemangat di hari pertama persekolahan meskipun berstatus orang kurang upaya (OKU).

Ibu kanak-kanak itu memaklumkan anak bongsudaripada lima beradik itu memang dilatih untuk hidup lebih berdikari kerana mahu anaknya itu berada dalam persekitaran normal bersama kanak-kanak normal lain.

Scroll to Top