RSS Suria

Tak mahu duit tunai, bagi barang cuci okey… Lelaki berhati mulia ini cabar diri bersihkan 30 surau sepanjang Ramadan

BULAN Ramadan sememangnya ditunggu-tunggu setiap umat Islam untuk meraih keberkatan di samping mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

Selain berpuasa, Ramadan memberi peluang kepada umat Islam untuk melakukan pelbagai amalan kerana setiap perbuatan baik yang dilakukan akan mendapat pahala berlipat ganda.

Tidak terkecuali buat lelaki ini yang menggunakan peluang Ramadan untuk meraih pahala dengan inisiatif yang cukup mulia iaitu membersihkan surau awam.

Berkongsi cerita dengan mStar, Rusydi Sayuti Rosli berkata inisiatif ’30 Hari 30 Surau’ dilakukan untuk mencabar diri sendiri selain bertujuan menggalakkan orang ramai menjaga kebersihan surau demi kegunaan bersama.

Rusydi melakukan inisiatif membersihkan surau awam seorang diri.

“Sebenarnya inisiatif ini adalah kesinambungan daripada content ‘Review Surau’ yang saya mula buat sejak Julai 2023.

Content review surau itu tercetus apabila saya dan isteri sering berjalan dan singgah surau untuk solat. Kita dapati ada perkara yang perlu ditambah baik pada surau awam, dan perlu diambil perhatian bersama.

“Jadi, atas kesempatan bulan Ramadan kali ini, saya teruskan pula dengan inisiatif ’30 Hari 30 Surau’.

ARTIKEL BERKAITAN:Wanita buat video ‘ala Khairulaming’ kongsi tutorial 30 stail tudung, paling tak sangka gadis ‘free hair’ terbuka hati nak cuba

ARTIKEL BERKAITAN:Pemuda berduit terkedu harga bihun goreng dan ayam di bazar Ramadan, simpati jika pelanggan B40 yang beli

“Inisiatif ini sebenarnya lebih kepada cabaran buat diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat sempena Ramadan,” ujar lelaki berusia 39 tahun ini.

Rusydi menambah, dia menyasarkan untuk membersihkan 30 buah surau awam sepanjang Ramadan, contohnya di stesen minyak, pusat membeli-belah, perhentian bas dan sebagainya.

Apa yang menakjubkan, dia menggerakkan inisiatif tersebut berseorangan dan menggunakan dana sendiri khususnya untuk membeli peralatan cucian.

“Saya akan lakukan pada hujung minggu, memandangkan saya berkhidmat di sektor swasta dari Isnin hingga Jumaat.

“Setakat ini saya dah buat cleaning di beberapa surau berdekatan rumah saya di Nilai.

“Sambutan Alhamdulillah… sememangnya saya akan bertanya dahulu kepada pihak pengurusan di sesebuah tempat tu, dan mereka pun ada kakitangan yang membersihkan cuma bila ada yang volunteer, memang mereka gembira,” ujarnya.

Tapi saya memang dah pasang niat sejakawal, tak ada kolaborasi pun saya memang akan bergerak solo seperti sekarang.

RUSYDI SAYUTI ROSLI

Rusydi menambah, inisiatif berkenaan turut mendapat perhatian beberapa pihak antaranya badan bukan kerajaan (NGO) yang meluahkan hasrat untuk berkolaborasi menjayakan misinya.

“Insya-Allah, mungkin misi ini akan disertai oleh pihak yang ingin sama berkolaborasi tapi saya tak terima bayaran, ia lebih kepada tajaan barangan untuk misi ini.

“Tapi saya memang dah pasang niat sejakawal, tak ada kolaborasi pun saya memang akan bergerak solo seperti sekarang. Tapi apabila ada yang luahkan hasrat, apa salahnya kita memanfaatkan Ramadan ini dengan perkara yang baik bersama-sama,” ujarnya lagi.

Keadaan surau sebelum dan selepas dibersihkan Rusydi.

Rusydi dalam pada itu berkata dia tidak menyangka perkongsian mengenai inisiatifnya di media sosial menjadi tular dan meraih komen positif daripada warga maya.

“Tujuan saya hanya sekadar mahu sebarkan awareness kepada masyarakat untuk menjaga kebersihan tempat ibadah terutamanya yang disediakan di kawasan awam. Kita sama-sama guna, kita sama-sama jaga.

“Kalau perkongsian ini mampu memberi manfaat terutamanya di bulan Ramadan, saya bersyukur dan moga kita sama-sama dapat menyumbang sesuatu buat diri sendiri dan masyarakat,” akhirinya.

Scroll to Top