KENTAL walaupun pernah mengalami kerugian mencecah lima angka ketika berniaga di bazar Ramadan.
Begitulahsemangat anak muda ini dalam menjalankan perniagaan menjual air balangpada Ramadan kali ini.
Berkongsi cerita kepada mStar, Muhammad Amin Syarifuddin Aziz, 24, berkata, dia terkesan dengan kerugian kira-kira RM10,000 ketika berniaga di bazar Ramadan pada 2020.
Gerai air balang beroperasi diBazar Lotus Semenyih sepanjang Ramadan.
Diuji ketika usianya 20 tahun, dia yang mesra disapa Amin mengakui ia berlaku disebabkan tiada pengalaman, selain tidak tahu tentang strategi dan ilmu menjalankan perniagaan di bazar.
“Pertama kali berniaga, saya buka terus lima gerai di lima lokasi bazar berasingan di sekitar Selangor. Mungkin ketika itu saya over confident (terlalu yakin).
“Masa tu pula saya jual air minuman dalam botol, sedangkan ramai pelanggan yang datang ke bazar lebih tertarik dengan bungkusan plastik,” katanya ketika dihubungi.
ARTIKEL BERKAITAN:Pelajar KPTM pandai buat duit, jual baju boleh dapat RM100,000! Tak sia-sia pemuda ini ikut nasihat mak ayah suruh cari ilmu
ARTIKEL BERKAITAN:Pukul 5 pagi masuk kebun durian, kerja sampai tengah malam… Anak tauke raja buah ini tak lupa jasa bapa, kenang kisah ‘cup cake’ 6 biji
Tidak berputus asa, Amin yang berasal dari Semenyih, Selangor terus bangkit dan melakukan kelainan bermula dengansatu gerai sahaja pada tahun kedua.
Kini genap lima tahun dia berniaga air bungkus di bazar Ramadan, Amin terus menampilkan kelainan untuk menghargai para pelanggan di gerainya di Bazar Lotus Semenyih.
“Kelainan kali ini saya menghargai pelanggan sempena lima tahun kami berniaga di bazar.
“10 pelanggan berpeluang menang bar emas bernilai lebih RM100 dengan setiap pembelian minimum dua bungkus,” katanya.
Amin (kanan) menyerahkan bar emas kepada pelanggan bertuah.
Menurut Amin, selain bar emas, pelanggan juga berpeluang untuk memenangi cabutan lain yang menawarkan hadiah wang tunai RM50 dan RM100 serta air bungkus percuma.
“Ini merupakan kelainan yang saya cuba untuk meningkatkan jualan, menarik pelanggan dan menunjukkan ada sesuatu yang istimewa di gerai kami.
“Kami tidak mahu mereka hanya datang ke gerai dan beli air bungkus dan selepas tu balik. Kami mahu pelanggan dihargai,” ujarnya sambil menambah cabutan tersebut berlangsung sepanjang operasi perniagaan mereka di bazar pada bulan Ramadan.
Bukan faktor keuntungan semata-mata saya menjalankan perniagaan ini, tetapi mahu menggamit semula kenangan macam mana saya susah payah.
MUHAMMAD AMIN SYARIFUDDIN AZIZ
Bercerita lanjut, Amin yang memiliki Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kampus Bangi berkata, gerainya menjual air bungkus berperisa jagung, tembikai dan mangga.
Mengenai operasi pada Ramadan kali ini, anak ketujuh daripada lapan beradik inibersyukur kerana menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
“Alhamdulillah, ramai yang teruja nak dapat sesuatu, untuk dapat hadiah. Untuk enam hari pertama Ramadan, kami dapat jual antara 250 hingga 300 bungkus.
“Paling awal habis semua pukul 6 petang,” ujarnya mengenai gerai air balang yang beroperasi di bazar seawal pukul 3 petang setiap hari.
Antara pelanggan bertuah (tengah) yang menerima hadiah wang tunai.
Walaupun mempunyai perniagaan cetakan baju yang lebih stabil, dia tetap bersemangat menjalankan bisnes minuman setiap kali bulan Ramadan.
Jelasnya, dia sentiasa cuba untuk memperbaiki kesilapan, bukannya hanya sekali rugi terus berputus asa.
“Bukan faktor keuntungan semata-mata saya menjalankan perniagaan ini, tetapi saya mahu menggamit semula kenangan macam mana saya susah payah di awal pembabitan saya, selain beramah mesra bersama pelanggan di bazar Ramadan.
“Pada masa sama, saya mahu membantu anak muda untuk menimba pengalaman yang bermakna di gerai sekiranya mereka ingin menjalankan perniagaan suatu hari nanti. Dapat juga bantu mereka cari ‘duit raya’ semasa bulan Ramadan ini,” katanya lagi.