RSS Suria

Isteri warga Aceh bawa 2 anak lari rumah, CCTV nampak naik Perodua Aruz… Suami rayu suruh balik – “Pulanglah… kita bincang”

SEDIH, resah dan gulana.

Demikian situasi yang sedang dialami seorang lelaki yang meluahkan kebimbangan lantaran isteri dan dua anak kecilnya hilang sejak Rabu.

Hanya mahu dikenali sebagai Saiful, lelaki ini berkata ketika kejadian, dia sedang bekerja dan hanya menyedari perkara tersebut apabila pulang ke rumah pada pukul 5.30 petang.

“Saya sampai dan perasan tiada selipar anak-anak di luar. Hati dah tak sedap. Apabila masuk rumah, sah isteri dan anak-anak tiada.

“Lebih buatkan saya tak tenteram apabila almari pakaian ketiga-tiga mereka kosong. Dokumen seperti surat beranak anak-anak tiada. Macam nak mati waktu tu,” ujarnya kepada mStar.

Dua anak kecil Saiful yang dibawa isterinya ketika meninggalkan rumah.

Menurut Saiful, segala-galanya terjawab apabila dia meminta bantuan jiran untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mereka.

“Menerusi CCTV jiran, nampak isteri masukkan tiga hingga empat buah beg ke dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz berwarna maroon, sekitar pukul 12.22 tengah hari.

“Saya hilang punca melihat isteri sanggup bawa anak-anak kami pergi. Anak saya masih kecil, masing-masing berusia dua tahun setengah, dan satu tahun setengah.

ARTIKEL BERKAITAN:Hampir 50 hari tanpa berita, wanita hilang punca fikirkan nasib adik hidap skizofrenia selepas ke ladang kelapa sawit… risau jatuh ke tangan orang tak baik

ARTIKEL BERKAITAN:Selepas 7 hari remaja hilang dijumpai di rumah wanita tua bertongkat, tapi ‘enggan bercerita’

“Saya akui beberapa hari sebelum itu kami ada berselisih faham sikit. Tapi pada pagi hari kejadian sebelum saya pergi kerja, semuanya macam biasa saja… sebab tu tak sangka ini yang berlaku,” ujarnya yang menetap di Taman Rimbun Harapan, Sendayan, Negeri Sembilan

Saiful yang bekerja sebagai juruteknik berkata, dia sudah pun membuat laporan polis dan sehigga kini giat mencari isteri dan anak-anaknya dengan bantuan ahli keluarganya.

Saya risau sangat sebab bimbang isteri buat macam tu kerana terpengaruh dengan orang lain.

SAIFUL

“Dengan tak mandi dan tak makan, saya terus buat report selepas kehilangan mereka. Dari petang Rabu sampai sekarang pun masih tak berhenti cari.

“Saya terpaksa cuti tanpa gaji sebab nak mencari mereka. Saya cuba usaha viralkan di TikTok tapi belum ada feedback.

“Saya risau sangat sebab bimbang isteri buat macam tu kerana terpengaruh dengan orang lain. Dia warga Aceh yang bekerja di sini.

“Anak sulung saya pula ada masalah kesihatan yang perlukan pemantauan daripada doktor. Tak tenang fikirkan di mana mereka berada sebab langsung tiada khabar. Saya sampai dah tak tahu nak cari di mana lagi,” ujar lelaki berusia 37 tahun ini.

Saiful (kiri) bersama isteri dan anak-anaknya.

Justeru menurut Saiful, dia tidak mempunyai pilihan selain menularkan perkara tersebut menerusi media sebagai jalan terakhir bagi memohon bantuan rakyat Malaysia mengesan keberadaan isteri dan anak-anaknya.

“Saya merayu sangat, kalau ada sesiapa yang ternampak atau kenal dengan isteri, tolong maklumkan saya. Saya boleh dihubungi di talian 013-7126585 atau kakak, 019-6885016.

“Saya cuma mahu isteri dan dua anak kembali ke pangkuan saya. Pulanglah… jika ada masalah, bincang sama-sama. Kalau berniat nak berpisah, kita selesaikan mengikut undang-undang… bukan tinggalkan rumah,” rayunya lagi.

Scroll to Top