SEDANG berdepan masalah rumah tangga, penyanyi Zehra Zambri menyifatkan kehadiran anak perempuannya sebagai penguat meneruskan kehidupan.
Malah kata Zehra, 38, sikap anaknya iaitu Zahiyah juga bertukar semakin garang seolah-olah ingin menjadi pelindung dirinya.
Kata Zehra, Zahiyah juga seakan-akan memahami situasi dilalui dan selalu memujuk jika dia berada dalam keadaan sedih.
“Zahiyah semakin hari semakin garang. Mungkin nak jadi pelindung kepada mamanya.
Anak menjadi sumber kekuatan buat Zehra.
“Paling sayu kalau menangis di dadanya terus dirangkul dan kata ‘mama don’t cry‘ (mama jangan menangis).
“Anak ini sudah mengerti sejak dari dalam kandungan lagi,” katanya.
Zehra berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Sabtu.
Menerusi hantaran sama, Zehra turut meninggalkan tanda pagar #kuatbersama seperti memberi gambaran mereka perlu tabah melalui masa akan datang.
ARTIKEL BERKAITAN:Cerai ‘fast track’ persetujuan bersama, Zehra Zambri reda suami fail nusyuz
ARTIKEL BERKAITAN:Tak setuju cerai ‘fast track’, cadangan tebus talak pula ditolak Zehra Zambri… Suami serah isu rumah tangga kepada mahkamah
Pada Februari lalu, suami Zehra iaitu Nur Mohd Iqwan Samsudin, 42, hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi kerana bercadang memfailkan nusyuz terhadap penyanyi berkenaan.
Jelas Iqwan, tindakan itu mahu dilakukan sebagai salah satu usaha menyelamatkan rumah tangga mereka.
Ia susulan Zehra didakwa mahu memfailkan cerai terhadap Iqwan tanpa sebarang sebab jelas memandangkan hubungan mereka tiada sebarang masalah.
Zehra reda sekiranya suami mahu memfailkan nusyuz terhadapnya.
Menerusi temu bual bersama mStar, Zehra menjelaskan keputusan bercerai secara ‘fast track’ bukan keputusan sebelah pihak sebaliknya atas persetujuan bersama suami.
Bagaimanapun, Zehra berasa hairan apabila Iqwan seolah-olah sengaja memanjangkan proses penceraian mereka termasuk mahu memfailkan nusyuz terhadapnya.
Untuk rekod, Zehra mendirikan rumah tangga dengan Iqwan pada 10 November 2021 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia tiga tahun.
Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi pada 14 Oktober 2017 namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!