RSS Suria

Jualan Ramadan cecah RM1 juta, usahawan makanan ada sebab enggan beli baju raya – “Tak boleh belanja sesuka hati”

AIDILFITRI merupakan hari kemenangan yang dirai dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran selepas sebulan umat Islam menjalani ibadah puasa.

Bagi usahawan makanan terkenal dari Perak, Dania Sedek, Aidilfitri kali ini cukup istimewa selepas sebulan dia berhempas-pulas mencari rezeki.

Berkongsi berita gembira dengan mStar, Dania meluahkan rasa syukur apabila dia berjaya meraih jualan mencecah RM1 juta sepanjang Ramadan kali ini.

Enggan cuti raya terlalu lama, Dania kembali berniaga pada 4 Syawal.

“Saya berniaga di dua tempat sahaja. Yang pertama, gerai saya di pasar malam dekat Ipoh. Yang kedua di bazar Stadium Indera Mulia.

“Tahun ini, anggarannya dapat RM1 juta untuk jualan pada Ramadan sahaja. Ia meningkat berbanding RM400,000 pada Ramadan lalu. Syukur kepada Allah, saya rasa rendah diri sebenarnya.

“Kita sebagai hamba banyak kekurangan, tetapi Allah banyak bagi rezeki,” ujarnya yang turut popular dengan menu tom yam serta daging harimau menangis.

Boleh tersenyum lebar, tapi duit itu tak boleh belanja sesuka-hati sebab saya bakal buka restoran Jun nanti.

DANIA SEDEK

PENGUSAHA NIASE STREET FOOD

Menurut pengusaha Niase Street Food itu, menu nasi khaomok serta lutut ayam menjadi buruan pelanggannya sepanjang Ramadan sehingga terjual ribuan bungkus setiap hari.

Di sebalik kegembiraan itu, Dania berkata dia tidak mahu leka, sebaliknya akan kembali bekerja pada hari raya ketiga.

Malah katanya, dia tidak boleh berjoli sesuka hati memandangkan banyak kos diperlukan untuk pembukaan restoran baharunya tidak lama lagi.

ARTIKEL BERKAITAN:Peniaga jawab kenapa jual telur dadar RM13! Dah buat ‘survey’ sampai luar negara sebelum perkenal Thailand Omelette

ARTIKEL BERKAITAN:Peniaga nasi lemak lobster kini mampu bina rumah sendiri, taja pakej umrah! Bakal perkenal sambal king crab tahun depan

“Kedai kami dah tutup pada Khamis. Tapi hari raya ketiga kami akan kembali berniaga untuk sambung perjuangan. Tiada masa untuk rehat panjang sebenarnya.

“Raya tahun ini, Alhamdulillah dengan rezeki yang diterima. Boleh tersenyum lebar, tapi duit itu tak boleh belanja sesuka-hati sebab saya bakal buka restoran bulan Jun nanti.

“Kos untuk restoran menelan belanja RM2 juta dan saya tak ambil pinjaman. Baju raya tahun ini pun saya tak beli. Saya memilih untuk berjimat,” kata Dania lagi.

Lutut ayam dan nasi khaomok antara menu ‘killer’ air tangan Dania.

Dalam pada itu, Dania berkata dia beraya di kampung suaminya di Negeri Sembilan pada tahun ini.

Bercerita tentang keluarganya, Dania berkata dia dan suami sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga, namun belum diberi rezeki cahaya mata.

Akhir bicara, Dania turut menzahirkan penghargaan buat seluruh kakitangannya serta semua pelanggan dan rakyat Malaysia yang meraikan Aidilfitri.

Dania bakal membuka sebuah restoran tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, saya ada team yang sangat membantu. Untuk team yang sudah bersama lebih enam bulan, mereka akan dapat kepingan emas.

“Yang perempuan akan dapat pewangi dan juga set mekap. Yang pastinya semua orang akan dapat duit raya.

“Saya juga nak ucapkan Selamat Hari Raya kepada semua rakyat Malaysia termasuklah perantau yang berada di luar negara,” ujarnya lagi.

Scroll to Top