TANPA diduga, seorang anak orang kurang upaya (OKU) yang terlantar di rumah sejak bertahun-tahun, terpaksa dibawa keluar untuk berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PSS).
Ia susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di Subang Jaya, Selangor pada pagi Selasa.
Menurut Norsyalida Abdul Wahab, 50, anak lelakinya berusia 30 tahun itu mengalami kematian otak sejak 10 tahun lalu, yang memerlukan penjagaan sepenuhnya selain diberikan ubat.
Dewan Serbaguna di Masjid Putra Heights kini dijadikan sebagai PPS untuk keluarga yang terjejas.
Menurutnya, kali terakhir anak kedua daripada empat beradik itu keluar rumah adalah pada 2021 ketika kawasan sekitar Putra Heights dilanda banjir.
“Anak saya ni sejak kematian otak hanya terlantar di rumah. Doktor akan datang tukar tiup (nasogastrik) dan buat pemeriksaan setiap enam bulan.
“Kali terakhir dia keluar rumah sewaktu sakit demam dan perlu dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui mStar di PPS di Masjid Putra Heights di Putra Heights, pada Rabu.
Sebagai makluman, tiub nasogastrik adalah tiubyang dimasukkan ke dalam perut pesakit melalui hidung, bagi memudahkan pemberian cecair nutrisi, air dan ubat-ubatan kepada pesakit.
Beberapa individu mendapatkan keperluan pakaian yang disumbangkan ke PPS.
Bercerita lanjut, kata Norsyalida Abdul Wahab, dia tidak menyangka bunyi letupan yang kedengaran dekat kawasan rumahnya di Kampung Kuala Sungai Baru di Puchong, menjadi mimpi ngeri buat dirinya.
Mengimbas kembali, katanya, bahang kebakaran sangat terasa meskipun dia bersama dua anak berada di dalam rumah.
ARTIKEL BERKAITAN:“Kakak, jangan mengalah” – Ubat tercicir ketika lari selamatkan diri, ibu 2 anak hidap asma gadai nyawa sanggup patah balik
ARTIKEL BERKAITAN:Mangsa kebakaran lari bawa bayi, kucing pula hilang… Bingung pintu bergegar tapi tiada angin
“Ketika kejadian, ada seorang lagi anak perempuan berusia 25 tahun. Apa yang saya fikirkan ketika itu adalah anak-anak terutama yang terlantar sakit tu.
“Dalam keadaan panik tu, saya cepat-cepat panggil enam jiran untuk bantu angkat anak saya yang terbaring di atas tilam.
“Masuk dalam kereta, terus saya pandu laju keluar dari kawasan perumahan untuk cari tempat lebih selamat,” ujar ibu tunggal kepada empat anak itu.
Sebagai ibu, saya hanya fikirkan keselamatan anak-anak. Biarlah Allah nak ambil nyawa saya dulu, dan bukannya anak-anak.
NORSYALIDA ABDUL WAHAB
Menurut Norsyalida yang berasal dari Batang Kali di Hulu Selangor dan sudah menetap di Puchong selama 10 tahun, dia amat bersyukur apabila dapat berlindung di PPS Masjid Putra Heights, selepas kejadian mengerikan itu.
“Hanya Allah saja yang tahu betapa cemas dan bersyukurnya saya pada masa sama.
“Sebagai ibu, saya hanya fikirkan keselamatan anak-anak. Biarlah Allah nak ambil nyawa saya dulu, dan bukannya anak-anak.
“Syukur Alhamdulillah semuanya selamat. Saya reda dengan kejadian yang berlaku ketika ramai sambut Hari Raya,” katanya yang bekerja sebagai akauntan.
Terdahulu,mStarmelaporkan berlaku kebakaran saluran paip gas bocor di Jalan Putra Harmoni Putra Height, kira-kira pukul 8.10 pagi Selasa.
Keadaan taman perumahan yang terjejas susulan tragedi kebakaran saluran paip gas.
PETRONAS Gas Berhad (PGB) dalam satu kenyataan kemudiannya mengesahkan berlaku kebakaran di saluran paip utama di lokasi itu.
Setakat pukul 12.30 tengah hari Rabu, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Masjid Putra Heights akibat kebakaran saluran gas di Putra Heights mencatatkan seramai 323 mangsa daripada 84 keluarga.
Jumlah mangsa itu terdiri daripada 97 lelaki dewasa, 115 wanita dewasa, 106 kanak-kanak, serta lima bayi.
Selain itu, terdapat 23 warga emas dan 20 OKU turut berlindung di PPS tersebut.