RSS Suria

“Walid masa muda tunggang motor!” – Peminat Indonesia selidik siapa Faizal Hussein, terpegun wajah kacak dalam ‘Gila-Gila Remaja’

WATAK Walid dilakonkan Faizal Hussein menerusi drama bersiri Bidaah nampaknya menjadi apabila aktor itu kini menjadi kegilaan dalam kalangan peminat di negara jiran, Indonesia.

Disebabkan watak tersebut, peminat mula tertanya-tanya tentang Faizal atau Mohd Faizal Hussein, 58, disebabkan kagum dengan lakonannya yang cemerlang menerusi Bidaah.

Di media sosial, nama Faizal turut menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen Indonesia malah ada yang membuat video kompilasi wajahnya sejak di awal pembabitannya sebagai pelakon.

Faizal ketika masih muda.

Ramai terkasima dengan ketampanan Faizal, malah ada menularkan wajahnya ketika popular menerusi filem Gila-Gila Remaja yang ditayangkan pada 1986.

Faizal ketika itu berusia 19 tahun turut disamakan wajahnya dengan bintang popular Korea Selatan iaitu Cha Eun Woo.

“Biar betul ini Walid masa muda dulu? Tak sangka rupanya sangat kacak!

“Masa muda macam Cha Eun Woo. Tapi kenapa apabila sudah tua macam seorang datuk yang gatal?

ARTIKEL BERKAITAN:‘Bidaah’ nombor satu di Viu Malaysia dan Indonesia, atasi drama popular Korea Selatan

ARTIKEL BERKAITAN:Riena Diana ludah muka Faizal Hussein, takut tapi terpaksa buat!

“Walid masa muda tunggang motor, sekarang dah tua tunggang agama,” tulis netizen.

Di Instagram Faizal pula, peminat-peminat dari Indonesia ‘berkampung’ di ruangan komen dan bertanya bilakah drama itu akan disambung untuk musim kedua.

Dalam pada itu, drama Bidaah berjaya mencatatkan kejayaan luar biasa apabila meraih lebih daripada 2.5 bilion tontonan digital dan media sosial.

Sejak tayangannya bermula pada 6 Mac lalu, Bidaah menjadi drama nombor satu paling popular di platform penstriman Viu Malaysia dan Indonesia selama lima minggu berturut-turut.

Walid masa muda tunggang motor, sekarang dah tua tunggang agama.

NETIZEN INDONESIA

Bidaah turut mengatasi drama bersiri Korea Selatan seperti Undercover High School, The Witch dan Study Group.

Karya penerbit Erma Fatimah ini secara tidak langsung membuka jalan bagi lebih banyak karya yang menghubungkan kedua-dua negara.

Kejayaan watak Walid lakonan Faizal yang mendapat perhatian luar biasa membuatkan nama pelakon itu menjadi sensasi dalam industri hiburan dan penghasilan meme serta parodi oleh peminat Indonesia.

Bidaah mengisahkan Baiduri (Riena Diana), seorang wanita muda yang dipaksa oleh ibunya, Kalsum (Fazlina Ahmad Daud), untuk menyertai Jihad Ummah, sebuah kumpulan agama yang dipimpin oleh Walid Muhammad (Faizal Hussein).

Watak Walid menjadi fenomena di Indonesia.

Namun, Baiduri segera menyedari terdapat banyak perkara mencurigakan di sebalik ajaran rohani kumpulan itu, termasuk perkahwinan paksa dan kepatuhan yang membuta tuli.

Kembalinya Hambali (Fattah Amin) dari Yaman, anak kepada orang kanan Walid, Abi Saifullah (Hasnul Rahmat), membuatkan Baiduri semakin yakin bahawa ajaran Jihad Ummah telah tersasar.

Bersama Hambali, Baiduri bertekad untuk melindungi ibunya dan membongkar kebenaran, walaupun nyawanya sendiri terancam.

Kesemua 15 episod Bidaah kini boleh disaksikan menerusi aplikasi penstriman Viu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Scroll to Top