RSS Suria

Isi dalam plastik, minta ‘dipulihkan’… Ramai sebak lihat mangsa tragedi Putra Heights cuci barang kemas hilang kilauan

TRAGEDI kebakaran yang berlaku di Putra Heights awal April lalu bukan sahaja memusnahkan harta benda dan mengubah kehidupan ratusan keluarga, malah turut menguji kekuatan sertaketabahan mereka dalam menghadapi detik sukar.

Biarpun ada mangsa yang kediamannya hampir 100 peratus musnah, namun mereka tetap berusaha untuk mencari sisa-sisa barang berharga yang mungkin masih terselamat di celah runtuhan sebaik sahaja situasi pulih.

Video yang dimuat naik di akaun TikTok Kedai Emas Munawara baru-baru ini ternyata mengundang sebak warga maya, apabila memaparkan salah seorang mangsa hadir bersama barang kemasnya untuk dibaiki dan dipulihkan seperti asal.

Mungkin tiada sesiapa yang tahu kisah di sebalik barangan kemas berkenaan, namun sudah pasti setiap satunya mempunyai nilai sentimental yang besar buat pemiliknya.

Antara proses yang dilakukan untuk mencuci dan mengembalikan warna asal emas.

“Mangsa letupan di Putra Heights. Rumah total lost, hanya emas serta beberapa keping duit sahaja yang tinggal.

“Akak ni datang untuk cuci emas yang masih terselamat daripada kesan kebakaran,” demikianketerangan yang ditulis pada video berkenaan.

Video berdurasi 35 saat itu memaparkan seorang wanita membawa barangan kemas miliknya di dalam beg plastik kecil terdiri daripada seutas rantai tangan, rantai leher beserta loket dan beberapa bentuk cincin untuk dicuci.

ARTIKEL BERKAITAN:20 tahun tinggal di Putra Heights, penduduk geram timbul 1001 cerita… Tampil jawab persoalan orang ramai

ARTIKEL BERKAITAN:Memang ada aktiviti korek tanah, 30 meter dari lokasi paip gas meletup

Kelihatan barangan kemas berkenaan disaluti lumpur dan tanah sehingga mengubah warna asalnya.

Difahamkan, barang kemas tersebut terselamat kerana pemilik menyimpannya di dalam kotak keselamatan.

“Pelbagai kisah sedih yang diceritakan oleh penduduk di sekitar Putra Heights. Mereka masih mampu tersenyum walaupun ada dugaan yang menimpa,” tulisnya lagi.

Dalam video yang sama, ia kemudian memaparkan beberapa proses yang dilakukan untuk mengembalikan warna asal emas dan membersihkan barang kemas akibat kesan letupan sertakebakaran.

Syukur ada barang yang terselamat. Terima kasih kerana menceriakan akak tu kembali.

NETIZEN

Pada penghujung video, kelihatan barang kemas yang pada mulanya kotor akhirnya kembali bersinar.

“Alhamdulillah sedikit sebanyak kami dapat membantu apa yang mampu.

“Salam takziah kepada semua mangsa yang terlibat. Semoga semuanya dipermudahkan urusan,” tulisnya lagi.

Sehingga kini video berkenaan meraih 1.6 juta jumlah tontonan selain dibanjiri ratusan komen netizen.

Hasil sebelum dan selepas emas dicuci dan dibersihkan.

“Syukur ada barang yang terselamat. Terima kasih kerana menceriakan akak tu kembali.

“Pengajaran untuk kita semua. Emas sememangnya banyak membantu waktu kita susah.

“Kesian dia, letak emas dekat dalam plastik je. Moga Allah permudahkan urusan akak dan keluarga,” demikian antara komen netizen.

Scroll to Top