PELAKON Acha Septriasa tidak menyangka doanya untuk berlakon dalam filem genre keagamaan dimakbulkan Allah SWT dalam tempoh singkat.
Acha atau Jelita Septriasa, 36, berkata, dia mendapat panggilan telefon daripada pengarah filem Qodrat 2 iaitu Charles Gozali sejurus selesai berdoa selepas menunaikan solat Asar.
“Saya ingat lagi ketika itu saya bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah agar diberikan tawaran berlakon yang baik dan kalau boleh biarlah projek itu dapat mendekatkan saya kepada-Nya.
“10 minit kemudian doa saya dijawab apabila mendapat panggilan telefon daripada Charles tentang Qodrat 2.
Acha berkongsi keterujaan berlakon dalam Qodrat 2.
“Dalam kebingungan, saya seperti tidak percaya baru sahaja berdoa dan Allah telah mengabulkan permintaan saya,” katanya kepada mStar.
Acha berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem berkenaan yang diadakan di TGV KLCC pada malam Rabu.
Dalam pada itu, Acha yang kini menetap di Sydney, Australia berkata dia tidak berfikir panjang menerima tawaran tersebut dan pulang ke Jakarta, Indonesia untuk menjalani penggambaran.
Aktres berkenaan meluahkan rasa terharu kerana dapat memainkan peranan sebagai Azizah tanpa perlu menjalani sebarang sesi uji bakat.
ARTIKEL BERKAITAN:Suami izin Acha Septriasa berlakon adegan intim tapi ada syarat
ARTIKEL BERKAITAN:Dikecam rakam semula lagu Acha Septriasa, Mahalini terfikir untuk bersara menyanyi
“Saya pulang ke Jakarta dan pada waktu itu pihak produksi sudah memulakan latihan tetapi saya baru masuk.
“Charles memberitahu dia dan kru produksi lain duduk berbincang dan terfikirkan saya antara pelakon yang sesuai membawakan watak Azizah,” ujarnya.
Bercerita tentang filem Qodrat 2, Acha menyifatkan pengalaman berlakon dalam filem keagamaan sedikit sebanyak dapat membantu dia memperbaiki cara solat dengan lebih baik.
“Sudah tentu solat taubat yang dilakukan dalam babak filem ini membawa saya menjadi lebih faham kerana sebelum ini mungkin saya tidak faham sangat erti bacaan dalam solat.
Saya ingat lagi ketika itu saya bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah agar diberikan tawaran berlakon yang baik.
ACHA SEPTRIASA
PELAKON
“Namun dalam pembelajaran filem seram ini dapat mengajar saya tentang penghayatan solat dengan baik.
“Insya-Allah perjalanan karakter Azizah ini memberi keberkatan berterusan untuk saya meneruskan kehidupan,” katanya.
Filem Qodrat 2 muncul sebagai filem seram paling besar di Indonesia ketika ini apabila ia melibatkan beberapa produksi berpengaruh termasuk Magma Entertainment, Rapi Films, Legacy Pictures, Astro Shaw, Ideosource Entertainment, Virtuelines Entertainment, Caravan Studio dan Beacon Films.
Qodrat 2 dibanjiri 72,377 penonton pada hari pertama tayangannya pada 31 Mac lalu di Indonesia.
Acha memegang watak Azizah dalam Qodrat 2.
Sebelum ini, Qodrat berjaya mencatat kejayaan luar biasa dengan menerima lebih 1.7 juta penonton di Indonesia dengan kutipan box office mencecah RM23 juta.
Lebih membanggakan, Qodrat turut berjaya merasuk di pawagam-pawagam negara luar termasuk Malaysia, Singapura, Kemboja, Mynmar dan Vietnam.
Selain Acha, Qodrat 2 turut dibintangi barisan pelakon termasuk Vino G. Bastian, Della Dartyan dan Dony Alamsyah.
Qodrat 2 mula ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia bermula 17 April 2025.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!