RSS Suria

Ramai bantah kemenangan Vietnam, model Malaysia kini juara ‘Mister Tourism World ke-8’

PENANTIAN selama dua bulan ternyata berbaloi apabila model Asyraf Dasley akhirnya diumumkan sebagai pemenang pertandingan Mister Tourism World ke-8 pada malam Jumaat.

Keputusan itu dibuat selepas berlaku bantahan terhadap keputusan juri yang memilih peserta dari Vietnam iaitu Hung Nguyen sebagai juara pada malam kemuncak pertandingan itu pada 18 Februari lalu.

Susulan itu, penganjur terpaksa melakukan siasatan menyeluruh tentang bantahan tersebut yang sebelum ini memperlihatkan Asyraf, 34, menduduki tempat kedua.

Asyraf harumkan nama Malaysia.

“Sebenarnya pertandingan ini berlangsung selama dua minggu di Vietnam pada Februari lalu.

“Pada malam kemuncaknya saya diumumkan sebagai naib juara sebelum pihak juri menerima beberapa aduan tidak puas hati dengan keputusan tersebut.

“Selepas pihak penganjur melakukan siasatan mereka mendapati Malaysia adalah pemenang dan semalam kemenangan saya diumumkan,” katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN:‘Batu api’ punca salah faham, Aaron Aziz dan Sharnaaz Ahmad berdamai

ARTIKEL BERKAITAN:Zareef Sein gubah lagu sendiri, tak yakin nyanyi karya komposer lain

Ketika menerima khabar kemenangan itu, Asyraf berkata perasaannya bercampur baur kerana kejayaannya tidak dapat disambut pada malam kemuncaknya.

Pun begitu, dia tetap gembira kerana berjaya melunaskan impian Allahyarham ibunya yang mahu dia terus berjuang sehingga ke akhirnya dalam setiap perkara dilakukan.

“Alhamdulillah perasaan sedih dan gembira sebenarnya kerana sebelum saya menyertai pertandingan ini saya kehilangan ibu.

Malah hadiah wang tunai saya sebelum ini pun ditangguhkan pemberiannya kerana masalah aduan tersebut

ASYRAF DASLEY

MISTER TOURISM WORLD

“Malah semasa pertandingan juga saya demam panas tapi tetap meneruskan sehingga ke akhirnya.

“Jadi bila dapat keputusan ini saya sebak kerana akhirnya dapat membanggakan ibu walaupun dia sudah tiada di sisi,” jelasnya.

Tambah Asyraf, keputusan itu juga membuktikan penganjur mementingkan integriti dan bersikap adil.

Berkongsi mengenai hadiah kemenangan, Asyraf berkata, ketika ini dia masih memegang trofi dan selempang kemenangan naib juara yang diterima pada malam kemuncak pertandingan.

Kemenangan Hung Nguyen ditarik semula.

“Buat masa ini tentang hadiah saya masih belum tahu mengenainya dan mungkin akan ada perbincangan selepas ini dengan pihak penganjur.

“Malah hadiah wang tunai saya sebelum ini pun ditangguhkan pemberiannya kerana masalah aduan tersebut,” katanya.

Mister Tourism World ke-8 berlangsung di Ninh Thuan, Vietnam dan disertai lebih 40 peserta dari seluruh dunia.

Dalam perkembangan lain, Asyraf yang berkerja sepenuh masa sebagai model meluahkan hasrat ingin berjinak-jinak menjadi seorang pelakon.

Asyraf kongsi kenangan ketika sertai Mister Tourism World.

Malah dia turut berminat dalam dunia pengacaraan sekiranya diberikan peluang mencuba.

“Sebelum ini saya ada berlakon tapi tidak terlalu kerap, insya-Allah selepas kemenangan ini saya mahu bergiat aktif dalam dunia lakonan dan pengacaraan,” jelasnya.

Bukan sahaja memiliki paras rupa yang kacak, bahkan Asyraf memiliki latar belakang bidang pendidikan yang membanggakan.

Untuk rekod, Asyraf memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam kejuruteraan mekanikal dan Ijazah Sarjana

bagi jurusan reka bentuk teknologi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Scroll to Top