RSS Suria

Tiada lagi ucapan sempena ulang tahun perkahwinan, Awal Ashaari sebak teringatkan arwah ibu mentua

SEMPENA meraikan ulang tahun perkahwinan ke-13 bersama isteri, pelakon Awal Ashaari sebak mengenangkan dia tidak lagi menerima ucapan daripada ibu mentua iaitu Allahyarham Junainah Hashim.

Awal atau Ahmad Awaluddin Ashaari, 44, berkata, dia berjanji akan menjaga isterinya iaitu pelakon Scha Alyahya dan anak-anak mereka dengan baik seperti yang diharapkan oleh Allahyarham ibu mentuanya itu.

“Bangun pagi ini tiada lagi ucapan daripada sumber kekuatan kami, Mama (mak mentua).

Ibu Scha meninggal dunia pada 7 Disember tahun lalu.

“Ma, (panggilan Mama) saya tahu awak sedang melihat kami dari atas sana. Awal janji akan jaga keluarga kita, anak Mama dan cucu-cucu, seperti selalu Mama harapkan,” katanya.

Awal berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya pada Ahad.

Dalam hantaran dibuat, Awal memaparkan mesej kiriman ibu mentuanya pada tahun lalu yang memberikan ucapan doa buat dia dan isteri sempena menyambut ulang tahun perkahwinan.

ARTIKEL BERKAITAN:Ibu Scha Alyahya meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN:Scha Alyahya sukar terima pemergian ibu, sebulan tak keluar rumah

Junainah mendoakan agar perkahwinan anak perempuannya itu dikurniakan kebahagiaan bersama dua orang cucu-cucunya iaitu Lara Alana dan Lyla Amina.

Dalam pada itu, Awal turut meluahkan rasa rindunya terhadap Junainah dan tidak lupa untuk mendoakan Allahyarham.

“Kami rindu Mama, kami sentiasa sayangkan Mama. Al-Fatihah,” ujarnya.

Pada 7 Disember lalu, Awal memaklumkan ibu mentuanya meninggal dunia di Hospital Pantai Kuala Lumpur pada pukul 9.40 pagi.

Awal dan Scha meraikan ulang tahun perkahwinan pada 4 Mei.

Bagaimanapun, aktor berkenaan tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai punca kematian Allahyarham.

Untuk rekod, Awal dan Scha atau Sharifah Nor Azean Mahadzir, 42, mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012.

Hasil perkahwinan itu, pasangan selebriti ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Lara Alana, 10, dan Lyla Amina yang kini berusia 5 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Scroll to Top