BERGELAR ibu selepas sedekad mendirikan rumah tangga merupakan pengalaman paling indah bagi Noorezwani Abdul Halit.
Apatah lagidia pernah dicemuh dan dihina mandul oleh orang sekelilingnya termasuk rakan baik sendiri.
Berkongsi cerita dengan mStar, ujar wanita berusia 34 tahun ini, dia baru 12 hari melahirkan bayi lelaki seberat empat kilogram.
Baginya, pengalaman melahirkan dan tempoh kehamilan adalah momen yang tidak dapat dilupakan kerana melengkapkan kehidupan rumah tangganya bersama pasangan, Muhammad Fazli.
Suaminya sentiasa membantu menjaga anak pertama mereka.
Malah dia turut mengakui sukar mempercayai berjaya hamil semasa pertama kali melihat tanda dua garis pada kit pengesanan kehamilan sehinggalah dimaklumkan tentang kewujudan ‘kantung bayi’ di dalam rahim.
“Awal tu saya demam dan badan rasa lain macam sangat dan haid lewat, periksa UPT (urine pregnancy test) naik dua garis merah, terus saya maklumkan pada suami.
“Suami terus ajak pergi klinik untuk scan, nampak kantung bayi… barulah rasa percaya.
“Lagipun sebelum ini, kami dah reda jika ditakdirkan tiada rezeki zuriat,” ujarnya yang 10 kali melakukan ujian kehamilan menggunakan kit pengesanan.
ARTIKEL BERKAITAN:Dihina mandul rakan sendiri! Pengasuh reda, tumpang kasih anak asuhan… Netizen doa Allah hadirkan nyawa dalam rahim sendiri
ARTIKEL BERKAITAN:Diperlaku seperti ‘mesin duit’, lelaki menyesal kahwin janda… Anak tiri suka melawan, isteri pula asyik menangkan zuriat sendiri
Menurutnya, sepanjang tempoh kehamilan, dia hanya mengalami masalah diabetes gestasional atau GDM serta kurang darah.
Bagaimanapun semua masalah itu tidak mengganggu emosinya kerana rasa teruja menantikan kelahiran anak pertama.
“Memang tiada masalah lain sepanjang hamil dan saya tak ada mengidam apa-apa.
“Cuma awal-awal dulu, anak kena masuk NICU (unit perawatan intensif neonatal) sebab jantung dan pernafasannya laju.
Sepanjang kehamilan memang saya sorok, tak kongsikan pada umum.
NOREZWANI
“Sekarang Alhamdulillah, bayi sihat sepenuhnya,” ucapnya syukur.
Mengimbau episod sebelum disahkan hamil, dia yang mesra disapa Wanie berkata, pelbagai ikhtiar dan usaha dilakukan seperti pasangan lain yang mengimpikan zuriat.
Malah sebulan sebelum disahkan hamil, dia yang menawarkan perkhidmatan asuhan kanak-kanak pernah mencuba tiga jenis produk makanan tambahan yang berada di pasaran termasuk asid folik.
“Saya makan sebulan, next period terus lekat… tak tahu sama ada sebab supplement atau memang dah rezeki Allah nak bagi.
Muhammad merupakan anak asuhan yang rapat dengannya.
“Dalam masa sama ada juga cuba diet pemakanan. Saya berhenti makan ayam dan gula, suami pula amalkan buah tembikai madu setiap hari,” tambahnya yang kini sedang menjalani fasa berpantang.
Sebelum inidia pernah ditemubual mStar berhubung cercaan dan hinaan daripada rakan baik kerana tidak berjaya memperoleh zuriat meskipun telah melakukan intrauterine insemination (IUI) berkata, tohmahan yang diterima itu menguatkan semangatnya untuk terus bersabar.
Malah dia juga tidak mengambil pusing dengan apa yang berlaku termasuk reda dengan ketentuan Ilahi.
“Saya dah tak fikir pasal tu, memang tak berhubungdah dengan dia.
“Saya tak tahu sama ada dia dah tahu atau belum tentang kehadiran cahaya mata sebab sepanjang kehamilan memang saya sorok, tak kongsikan pada umum,” ujarnya yang sebelum ini gemar berkongsi perihal anak asuhan di laman TikTok.
Malah Wanie juga terkenal di laman TikTok kerana mempunyai anak asuhan yang begitu rapat dengannya serta sering dibawa keluar termasuk bercuti dan meraikan Aidilfitri bersama.