SELEPAS sekian lama menghilangkan diri, pelawak Yassin Senario akhirnya muncul berkongsi khabar terkini dirinya dengan peminat.
Yassin atau Yassin Yahya, 46, muncul menerusi sesi siaran langsung akaun penyanyi dan pengacara @Rifkarl85Official di TikTok pada Ahad.
Menjawab soalan penonton yang teruja melihat kelibatnya, Yassin memaklumkan dia sedar ramai bertanya tentang kehilangannya namun memilih mendiamkan diri.
Ketiadaan Yassin sebelum ini menjadi tanda tanya.
Memberi bayangan tidak berada di Malaysia, Yassin secara berseloroh meminta peminat memberinya ‘gift’ sekiranya mahu dia pulang.
“Bukan merajuk tak nak balik. Malas nak tengok telefon, kalau tengok macam-macam orang cakap.
“Kalau nak saya balik, beri gift,” katanya ringkas.
Dalam video siaran langsung itu juga, Yassin kelihat sihat dan mesra melayan komen-komen penonton.
ARTIKEL BERKAITAN:Lama tidak bertemu, Yassin bakal muncul bulan depan bersama Senario
ARTIKEL BERKAITAN:Senario tak tahu mana Yasin hilang, hanya berhubung tentang soal kerja
Tampil bersama pemilik akaun berkenaan, Yassin dilihat memakai baju berwana hitam dengan latar belakang dinding seperti dalam sebuah ruang bilik.
Sejak akhir tahun lalu, ketiadaan Yassin dalam program melibatkan Senario sering menjadi tanda tanya peminat.
Apatah lagi sebelum ini media melaporkan penangkapan seorang pelawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada Oktober tahun lalu kerana memiliki ganja.
Yassin bakal muncul bersama Senario dalam sebuah acara Jun nanti.
Ramai mengaitkan pelawak ditahan itu adalah Yassin namun anggota Senario sendiri memilih mengunci mulut mengenai berita itu.
Pelawak tersebut dilaporkan perlu menjalani hukuman penjara selama enam bulan di Arab Saudi dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada April lalu.
Menurut anggota Senario iaitu Saiful Apek, Yassin dijangka membuat kemunculan bersama kumpulan itu menerusi pementasan teater Muzikal Lawak Bangsawan Mimpi Tuanku pada 28 Jun depan di Melaka.
Saiful memberitahu perkara itu dikongsi sendiri oleh isterinya malah pementasan itu diterbitkan oleh syarikat miliknya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube