RSS Suria

Farez Adnan tiada lagi gaji tetap, nekad berhenti kerja demi fokus kerjaya seni

SELEPAS enam tahun berkhidmat sebagai kakitangan Sokongan IT, penyanyi Farez Adnan akhirnya membuat keputusan melepaskan jawatan tetap demi mengejar impian dalam bidang seni.

Farez atau Muhd Fareezuan Adnan, 30, berkata keputusan itu bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya hasil pertimbangan mendalam selama dua tahun sejak mula dikenali di platform TikTok.

Katanya, dia bertambah yakin apabila rezeki semakin mencurah-curah dalam bidang seni sejak kebelakangan ini.

Farez enggan tamak mengejar wang ringgit.

“Saya sudah hantar surat berhenti pada bulan lepas lagi sebenarnya, notis dua bulan tapi lepas tolak cuti apa semua tinggal berbaki 10 hari saja sebelum saya tamat sepenuhnya.

“Sebenarnya saya simpan hasrat ini sudah dua tahun masa nama mula dikenali di TikTok, cuma ketika itu tak yakin.

“Sebab undangan menyanyi sebelum ini macam cukup-cukup makan saja, gaji IT support pula sudah cecah RM6,000 jadi nak berhenti pun rasa sayang,” katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN:Farez Adnan jadi saksi suka duka, lagu ‘Air Titik ke Batu’ jawapan kisah Mas Idayu

ARTIKEL BERKAITAN:Makcik Petir terkejut makin dikenali, ada kenalan cemburu sejak popular… Siap dapat ‘job’ lakonan

Cerita Farez, komitmen terhadap dunia seni juga mengganggu tugasan hakiki apabila kerap mengambil cuti saat akhir.

Tambahnya, walaupun bekerja dari rumah, ia tetap menjejaskan kelancaran tugasan pasukan IT tempat dia berkerja.

Malah dia juga terpaksa menolak beberapa tawaran dari Indonesia dan lakonan yang sememangnya menjadi minatnya.

“Tapi akhir-akhir ini Allah beri rezeki lebih, dapat iklan dengan bayaran lumayan. Jadi saya kena beri komitmen pada kerja dan tidak adil pada syarikat tempat saya berkerja.

Inilah masa saya mula semula.

FAREZ ADNAN

PENYANYI

“Ia menganggu kerja orang lain juga, itu pun tidak bagus juga walaupun saya kerja dari rumah,” ujarnya.

Jelasnya, sebelum bertindak berhenti, dia juga memastikan mempunyai simpanan mencukupi dan berbincang dengan kedua ibu bapanya.

Tidak hanya itu, dia juga percaya ini adalah jawapan bagi solat istikharah dan doa semasa menunaikan umrah pada penghujung tahun lalu.

“Jika hendak dapatkan sesuatu, kita kena korbankan benda lain dan perlu percaya pada rezeki Allah,” katanya.

Farez cari jawapan sehingga ke Tanah Suci Makkah.

Berkongsi mengenai perancangan kariernya, Farez memberitahu terdapat beberapa tawaran sedang menantinya selain ingin menceburi bidang lakonan.

“Saya sudah ada perancangan seperti berkolaborasi dengan artis lain, iklan pun sudah ada menanti.

“Saya nak cuba berlakon sebab minat. Sebelum ini ada tawaran tapi terpaksa tolak, jadi inilah masa saya mula semula,” ujarnya

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top