SUDAH 20 hari kemalangan ngeri membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlalu, namun kubur dan kediaman keluarga Allahyarham Nurly Shahirah Azman terus menerima kunjungan orang ramai.
Menerusi hantaran yang dibuat seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Ahmad Nazrul, keluarga Allahyarhamah berusia 23 tahun itu berbesar hati mengalu-alukan kehadiran orang ramai.
Difahamkan tujuan utama kehadiran masyarakat adalah untuk melihat al-Quran yang ditulis sendiri oleh Nurly Shahirah.
“Hari ini (28 Jun), lebih lima buah bas di perkarangan masjid, puluhan kenderaan di kiri dan kanan jalan. Ada yang berjalan kaki lebih dua kilometer untuk ke rumah ini.
Al-Quran tulisan tangan arwah Nurly Shahirah menjadi tumpuan orang ramai.
“Ibu bapa Nurly mengalu-alukan kedatangan sesiapa sahaja ke rumah, mereka sangat berbesar hati.
“Cuma kalau mereka tak sempat nak menyantuni anda, mereka memohon seribu kemaafan,” ujarnya.
Meskipun gembira melihat ratusan orang yang hadir, namun Ahmad Nazrul meluahkan rasa kecewa dan terkilan apabila terdapat segelintir individu yang mengambil kesempatan dengan melakukan amalan kurafat di kubur arwah.
ARTIKEL BERKAITAN: Nurly Shahirah sangat cintakan al-Quran, tulis semula Kalamullah demi kuatkan hafalan… Abang dedah amalan arwah semasa hidup
ARTIKEL BERKAITAN: 4 kali ulang buka pintu van lepas hantar jenazah Nurly, bau wangi tak terungkap! Aneh ‘ditolak’ cepatkan urusan kebumi
Bukan itu sahaja, dakwanya terdapat individu yang bertindak mengambil tanah kubur arwah seolah-olah dapat membantu menjayakan urusan peribadi.
“Di dalam kesibukan ramai, ada yang melakukan perkara khurafat. Antaranya mengambil tanah di atas perkuburan Nurly.
“Ketahuilah hukum mengambil tanah kubur untuk khurafat adalah haram dan berdosa besar.
Tali ini dipasang sendiri oleh ahli keluarga Nurly… tidak dibenarkan sesiapa sahaja melintasi tali penghadang ini.
AHMAD NAZRUL
“Ia boleh membawa kepada syirik, menghina kehormatan si mati, dan melanggar syariat Islam,” tambahnya menegur sikap individu yang tidak bertanggungjawab.
Menerusi hantaran berasingan, Ahmad Nazrul menyatakan bahawa tali penghadang telah dipasang di keliling kubur Allahyarhamah Nurly Shahirah pada petang Sabtu.
Malah katanya, ia dilakukan sendiri oleh keluarga arwah bagi mengelakkan kawasan kubur dicemari dengan kegiatan kurafat dan syirik.
“Tali penghadang telah siap dipasang di sekitar kubur Nurly.
Warga maya turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir individu tidak bertanggungjawab.
“Tali ini dipasang sendiri oleh ahli keluarga Nurly. Tidak dibenarkan sesiapa sahaja melintasi tali penghadang ini,” jelasnya.
Dia turut menyatakan bahawa pihak Pejabat Agama Daerah Besut akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang melakukan sebarang perbuatan yang tidak sepatutnya di kawasan kubur berkenaan.
Tambah pengguna Facebook ini lagi, rondaan malam juga akan dilakukan bagi membendung kegiatan tidak bermoral itu.
Pada 9 Jun lalu, seramai 15 pelajar UPSI maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak.
Selain Nurly Shahirah, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 1.10 pagi itu turut meragut nyawa Sufea Adela Maslihaizan, 21, Mohammad Aqil Taqiudin, 21, Anis Soffiyya Md Zaidi, 20, Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22.
Turut meninggal dunia Fakhrul Arif Rosdi, 20, Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21, Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, Nur Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, Muhammad Mustaqim Rosde, 21, Nor Ayuni Maslan, 21, dan Fatin Nasrien Fadli, 22.