ANGGOTA kumpulan Exists bersetuju untuk ‘menyimpan’ vokalisnya Mamat untuk projek khas mereka pada tahun depan.
Menurut Ajai atau Mohamad Faizal Maas, 50, buat masa ini mereka ada sahaja menjemput Mamat atau Mohd Ali Kamarudin, 48, ke persembahan kecil sebagai pemanas badan sebelum penyanyi itu kembali ke pentas besar.
"Sebenarnya kami sudah ada perancangan rapi untuk dia, cuma buat masa ini kami ‘simpan’ dia untuk konsert reunion Exists pada tahun hadapan.
Exists sudah ada rancangan buat Mamat.
"Kalau diikutkan ada sahaja persembahan yang kami undang Mamat seperti di Kelantan baru-baru ini. Kami beri dia ‘warm up’ dulu," katanya kepada mStar.
Ajai berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media konsert Exists Premium Live @ PJ di IOI City Mall, Putrajaya pada Ahad.
Berkongsi lanjut, kata Ajai, kesihatan Mamat juga semakin baik selepas menerima rawatan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Bentong, Pahang.
Malah seluruh anggota Exists sentiasa mendoakan yang terbaik buat Mamat kerana mereka mahu mencapai kejayaan bersama-sama.
ARTIKEL BERKAITAN: Ikut ‘law’ 4U2C perlu minta izin Man Senoi, Exists cadang ‘duduk semeja’ dan berbincang
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ajai jaga hubungan baik dengan Exists, tiada isu sejak keluar kumpulan… "Selalunya pecah belah berpunca kewangan"
"Prestasi Mamat sekarang sudah makin bagus, malah kami dengar daripada warden dia macam jadi ikon di sana.
"Walaupun dia masuk Pengasih tapi pucuk pangkal adalah hatinya yang nak berubah.
"Kami sebagai abang-abang Mamat sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dia supaya apa yang kami capai, dia turut capai perkara sama," ujarnya.
Untuk rekod, Mamat kini sudah hampir setahun berada di bawah pengawasan Pengasih untuk rawatan dan pemulihan selepas terpalit kes berkaitan penyalahgunaan dadah.
Konsert Exists bakal berlangsung 4 Oktober depan.
Pada 2019 Mamat berdepan dua pertuduhan mengambil dadah, bagaimanapun pada 8 Julai tahun lalu dia berjaya dalam rayuan terhadap sabitan dan hukumannya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor.
Penyanyi itu bagaimanapun dikenakan hukuman denda sebanyak RM4,000 dan dua tahun pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong.
Dalam perkembangan lain, konsert Exists Premium Live @ PJ akan berlangsung di Jio Space, Petaling Jaya, Selangor pada 4 Oktober depan.
Harga tiket konsert itu bermula daripada RM368 sehingga RM588 dan boleh didapati menerusi laman sesawang Jiotix Asia.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube