RSS Suria

Tertekan fikir masalah kewangan punca Dharma Harun makin kurus… Berat hanya 45 kg

ANAK kepada pelakon Dharma Harun, Syafiq Dharma memaklumkan bapanya mengalami masalah kesihatan sejak Mac lalu akibat tertekan memikirkan soal masalah kewangan yang dihadapi.

Syafiq atau Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 36, berkata, berat badan bapanya juga turun mendadak dan kini hanya 45 kilogram (kg) selepas mengalami gastrik dan batuk berpanjangan.

Keadaan terkini Dharma yang sudah semakin kurus.

Keadaan terkini Dharma yang sudah semakin kurus.

“Bulan Ramadan lalu, bapa saya diserang gastrik hingga hilang selera makan. Ayah jenis tidak suka berkongsi sangat (masalah kesihatan) dengan anak-anak.

“Waktu itu pun dia asyik batuk sahaja, tapi dia bukan dijangkiti tibi sebaliknya diserang gastrik.

“Selain itu, ayah juga ada mengadu dia tengah stres fikir tentang masalah duit,” katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis.

Syafiq memberitahu dia sebenarnya malu untuk berkongsi kisah kesusahan mereka secara umum namun terpaksa melakukannya kerana tidak mempunyai pilihan lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Dharma Harun mohon tuan rumah bertimbang rasa, kongsi keadaan bapa semakin kurus… tak tergamak hantar ke rumah kebajikan

ARTIKEL BERKAITAN: Selesai bayar tunggakan sewa rumah, keluarga Dharma Harun sedia jika terpaksa berpindah

Kata Syafiq, dia terpaksa melunaskan baki sewa rumah berjumlah RM1,300 sebelum diminta kelur daripada kediaman itu pada akhir Julai ini.

“Saya sebenarnya malu sangat nak cerita fasal ini kerana orang akan tahu saya susah. Tapi ini jalan terakhir kerana sudah tiada cara lain. Saya ada masa kurang sebulan sahaja untuk keluar daripada rumah sewa ini.

“Tuan rumah tetap mahu saya menjelaskan sewa rumah bulan ini, mereka enggan menunggu tempoh masa yang diberikan oleh bantuan Baitulmal.

“Macam mana saya nak uruskan cari rumah baru dan kemas barang-barang untuk berpindah keluar. Bagaimana pula saya nak bekerja cari duit untuk selesaikan bayaran sewa dalam masa singkat ini?” ujarnya.

Saya pujuk ayah beritahu kita terpaksa duduk di rumah lebih murah.

SYAFIQ

ANAK DHARMA

Syafiq bagaimanapun meluahkan rasa syukur apabila nasib keluarganya itu mendapat perhatian pihak Baitulmal yang mahu membantu membiayai kos sewa di rumah baharu kelak.

Tambah Syafiq, sebelum ini mereka ada menerima bantuan sebanyak RM700 daripada Baitulmal untuk keperluan bulanan.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana pihak Baitulmal sudi memberi bantuan untuk menguruskan rumah sewa baharu. Sebelum ini pun kami sudah menerima bantuan RM700 daripada Baitulmal.

“Saya pujuk ayah beritahu kita terpaksa duduk di rumah lebih murah, ayah saya pun okay sahaja. Saya dan kakak ada juga mencari beberapa rumah yang sesuai.

Syafiq (kanan) terpaksa berkongsi cerita kesusahan mereka di media sosial.

Syafiq (kanan) terpaksa berkongsi cerita kesusahan mereka di media sosial.

“Kami sekeluarga bersyukur sekurang-kurangnya selepas ini tidak perlu lagi terbeban dengan masalah duit sewa rumah,” jelasnya.

Sebelum ini, Syafiq memuat naik hantaran di Instastory miliknya memohon jasa baik pemilik rumah memahami keadaan mereka yang memerlukan sedikit masa bagi melangsaikan bayaran sewa.

Kongsi Syafiq, sebagai seorang pelajar dia tidak mampu melunaskan bayaran sewa dalam masa singkat tambahan pula pemilik rumah itu didakwa tidak mahu memberi kerjasama.

Perkongsian Syafiq sebelum ini di Instastory miliknya.

Perkongsian Syafiq sebelum ini di Instastory miliknya.

Terdahulu, media melaporkan Dharma mengalami masalah sukar bertutur dengan lancar selepas serangan angin ahmar pada 2019.

Dharma turut memaklumkan dia kini menghidap gastrik, asma, mengalami bengkak bahagian jantung dan paru-paru serta turut menghidap tiroid.

Pelakon filem Adik Manja itu dilaporkan tinggal bersama dua orang cahaya matanya iaitu Syafiq dan Siti Qurratu Aini, 37, yang kedua-duanya masih belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaaan (Aswara).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top