PERKONGSIAN pelakon Daler Yusuf yang pulang ke kampung halaman di Tashkent, Uzbekistan mengundang perhatian ramai apabila menyangka dirinya bakal menetap secara tetap di negara itu.
Bagaimanapun Daler atau Daler Yusuf Khamrokulov Muhammad, 32, memberitahu dia hanya pulang buat sementara waktu kerana ingin menikmati cuti musim panas bersama isteri dan empat anaknya.
“Kami balik sempena cuti musim panas. Anak-anak saya pun sudah lima tahun tak pulang ke kampung. Ini juga pertama kali kami sekeluarga pulang bersama.
Daler berkongsi gelagatnya bersama anak-anak di dalam kapal terbang.
“Buat masa sekarang tak pasti lagi bila akan balik ke Malaysia kerana belum membeli tiket balik” katanya ketika dihubungi mStar.
Menurut Daler, walaupun baru tiga hari di Tashkent, namun anak-anaknya sudah mula merungut untuk balik ke Malaysia.
“Perasaan mereka sekarang bercampur baur, mungkin sudah biasa dan lebih suka makanan di Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Pertama kali berpantang di Malaysia, Daler Yusuf kongsi pengalaman urus isteri
ARTIKEL BERKAITAN: Nenek Daler Yusuf kritikal kerana jangkitan Covid-19 – "Saya tak tahu nak buat macam mana… dia dalam keadaan koma"
“Baru tiga hari di sini anak-anak saya sudah tanya bila nak balik terutama Abu Bakar,” kongsinya.
Dalam pada itu, Daler memberitahu dia juga merancang membuka sebuah perniagaan makanan dan minuman di kampung halamannya itu.
Tambahnya lagi, dia juga tidak menolak sekiranya ditakdirkan untuk menetap di Uzbekistan secara tetap.
Daler ada perancangan ingin buka perniagaan di kampung halaman.
“Saya rancang nak buka perniagaan kecil di sini. Nak buka kafe yang menjual kek, kopi dan beberapa makanan Malaysia.
“Kalau perniagaan ini berjaya, Insya-Allah kami akan tinggal di sini,” luahnya.
Sebelum ini, Daler berkongsi foto memaparkan dia bersama isteri iaitu Sakinah Burikul dan empat orang anaknya berada di dalam kapal terbang menuju pulang ke Uzbekistan.
Susulan itu, rata-rata netizen membuat spekulasi mereka sekeluarga tidak akan kembali semula ke Malaysia.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube