PENYANYI Datuk DJ Dave terkejut melihat perubahan fizikal Dharma Harun selepas foto yang dikongsi anak lelakinya tular di media sosial.
DJ Dave atau Irwan Shah Abdullah, 77, bagaimanapun meluahkan rasa gembira apabila berpeluang bertemu pelakon itu di kediamannya di Seasons Garden, Wangsa Maju pada Jumaat.
Kata DJ Dave, dia berharap pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu memberi semangat buat Dharma untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
DJ Dave mewakili YKAT memberikan sumbangan kepada Dharma.
“Apa yang saya lihat tiada siapa memberi semangat kepada Dharma dan boleh nampak dia gembira apabila berjumpa dengan saya.
“Saya sudah lama mencari Dharma dan baru-baru ini saya lihat gambar yang dikongsi anaknya. Saya sedih dan terpanggil untuk melawat ke rumahnya.
“Dharma seorang pelakon dan penyanyi hebat. Hari ini (Jumaat), saya gembira dapat memberikan kata-kata semangat buatnya. Saya harap kita doakan agar dia cepat sembuh,” katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Tertekan fikir masalah kewangan punca Dharma Harun makin kurus… Berat hanya 45 kg
ARTIKEL BERKAITAN: Dharma Harun tiada selera makan, hilang 40 kg dalam tempoh tiga bulan akibat tekanan hidup
Dalam pada itu, DJ Dave yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) tampil memberikan sumbangan wang tunai RM1,000 buat Dharma supaya aktor berkenaan dapat membeli makanan berkhasiat untuk kembali bertenaga dan sihat.
"Makanan itu penting, jadi saya berharap dia boleh menggunakan duit sumbangan ini untuk membeli makanan berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
“Kami harap dengan sokongan yang diberikan dia boleh kembali sihat seperti sedia kala," ujarnya.
Menurut DJ Dave, kali terakhir dia bertemu dengan Dharma sekitar lapan tahun lalu sewaktu mereka menetap di kawasan perumahan di Taman Desa, Kuala Lumpur.
Dharma hilang 40 kilogram kerana kurang selera makan akibat tekanan hidup.
Sebelum ini, ketika ditemu bual mStar, Dharma memaklumkan sudah tiga tahun tidak menerima tawaran pekerjaan hingga mengalami tekanan dan masalah kesihatan.
Kata Dharma atau Dharma Harun Al-Rashid, 68 masalah yang dihadapi menyebabkan dia kurang selera makan sekali gus memberi perubahan ketara kepada keadaan fizikalnya.
Dharma dilaporkan tinggal bersama dua orang cahaya matanya iaitu Syafiq dan Siti Qurratu Aini, 37, yang kedua-duanya masih belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaaan (Aswara).
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube