RSS Suria

4U2C hargai permohonan maaf Ajai, mahu jernihkan isu hak cipta lagu… buat majlis doa selamat mohon konsert dipermudahkan

KUMPULAN 4U2C menzahirkan penghargaan kepada komposer, Ajai selepas dia secara terbuka memohon maaf dan menjernihkan salah faham berkaitan isu hak cipta lagu yang tular sebelum ini.

Menurut ketua kumpulan 4U2C, Datuk AC Mizal, mereka hanya ingin meleraikan kekeliruan agar masyarakat memahami situasi sebenar daripada sudut perundangan.

"Kami tidak pernah berniat untuk bergaduh. Lagipun, dua lagu ciptaan Ajai akan dinyanyikan dalam konsert kami nanti.

Anggota 4U2C tidak terbuka terima permohonan maaf Ajai.

"Jadi, bila Ajai tampil memohon maaf, kami berterima kasih dan langsung tidak menyimpan sebarang rasa.

"Kami hanya mahu menjelaskan perkara sebenar kepada umum. Ramai yang mendoakan perkara tidak baik dan timbul pelbagai fitnah serta salah faham. Jadi apabila Ajai mengambil langkah tersebut (memohon maaf) kami amat menghargainya," katanya kepada mStar.

AC berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas majlis doa selamat kumpulan 4U2C di Masjid Bukit Indah, Ampang, Selangor pada malam Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Konsert 4U2C tetap jalan, AC Mizal dedah Man Senoi punca berpecah… Lama berdiam sebab malas panjangkan isu

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada niat tutup periuk nasi, Ajai sekadar kongsi fakta dan pengalaman

Bercakap tentang majlis itu, AC atau Mizal Zaini, 54, menjelaskan ia diadakan bagi memohon keberkatan agar segala urusan mereka dipermudahkan Allah SWT menjelang hari konsert.

"Kami bersyukur kerana diberi peluang untuk berehat seketika daripada jadual latihan yang padat bagi menghadiri majlis doa selamat ini.

"Kami bukan lagi anak muda, masing-masing sudah berkeluarga. Jadi majlis seperti ini penting untuk memohon pertolongan dan keberkatan daripada Allah," jelasnya.

Kami tidak pernah berniat untuk bergaduh

DATUK AC MIZAL

KETUA KUMPULAN 4U2C

Sementara itu, AC turut meluahkan rasa syukur apabila jualan tiket konsert We 4U2C menunjukkan perkembangan positif, khususnya selepas pengumuman penglibatan kumpulan Res2 dan A2Z sebagai artis jemputan.

"Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan di luar jangkaan kami.

"Penambahan artis jemputan nampaknya memberi impak positif kepada jualan tiket," ujarnya.

4U2C harap konsert berjalan lancar.

Sebelum ini, timbul kekeliruan berkenaan hak cipta lagu yang akan dipersembahkan oleh kumpulan 4U2C dalam konsert mereka yang akan datang pada 15 September depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya, Selangor.

Terdapat dakwaan daripada pihak tertentu yang mempersoalkan penggunaan lagu kumpulan itu sewaktu konsert sehingga menimbulkan spekulasi dan salah faham di kalangan netizen.

Bagi menjernihkan keadaan, Ajai tampil memohon maaf atas salah faham yang berlaku dan mengakui isu itu tidak sepatutnya diperbesarkan serta menyatakan sokongannya terhadap 4U2C.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top