SEORANG ibu meluahkan rasa kecewa apabila dia dipaksa membuat bayaran penuh bagi aktiviti rombongan tadika walaupun sudah memaklumkan lebih awal bahawa anaknya tidak dapat menyertai program tersebut.
Menurutnya, rombongan dari Ipoh, Perak ke Kedah itu dijadualkan pada hari yang sama mereka sekeluarga perlu pulang ke kampung kerana menghadiri kenduri.
Oleh itu, dia memberitahu pihak tadika bahawa anaknya yang berusia enam tahun tidak akan turut serta.
Zoo adalah antara lokasi pilihan guru untuk membawa murid mengikuti lawatan sambil belajar. -Gambar hiasan AI
“Cikgu kelas balas okey saja, lepas ni aktiviti lain anak boleh join. Tapi tiba-tiba cikgu kelas WhatsApp beritahu kena bayar penuh walaupun tak pergi rombongan.
“Kalau setakat RM50 boleh pejam mata. Ni sampai RM110 kena bayar atas alasan murid enam tahun wajib pergi dan pengiraan semua dah termasuk,” kongsinya di media sosial.
Wanita itu turut berkongsi tangkap layar WhatsApp perbualannya bersama guru kelas terbabit yang memintanya menjelaskan wang rombongan.
ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula penjaga tak percaya, anggap murid cakap mengarut… rombongan tadika cemas ada ular dalam bas!
ARTIKEL BERKAITAN: Bapa tetap izin ikut lawatan ke Ipoh walau anggap tambang mahal, tak sangka anak bagi ‘diskaun’ cuma minta RM100
“Tapi puan kena bayar RM110 sebab kami dah kira kos anggaran. Ada juga murid yang tak dapat join tapi dah bayar.
“Maaf puan saya hanya ikut arahan bos,” tulis guru berkenaan.
Selain itu, wanita tersebut turut berkongsi mesej pihak pengurusan tadika kepadanya, namun tidak dibalas kerana sakit hati.
“Perkara ini memang telah maklum setiap tahun untuk murid enam tahun. Apa-apa aktiviti wajib semua hadir.
“Jika tidak hadir bayaran diwajibkan kerana semua aktiviti berbayar kos dikira mengikut jumlah murid,” tulisnya.
- Seorang ibu kecewa dikenakan bayaran penuh RM110 walau anak tak sertai rombongan tadika.
- Tadika maklumkan kos dikira awal dan aktiviti wajib untuk murid enam tahun.
- Guru hanya ikut arahan pengurusan tadika.
- Ibu persoal kenapa kos tak disahkan selepas senarai peserta dimuktamadkan.
- Perkongsian cetus perdebatan ibu bapa di media sosial.
Dia juga turut mempersoalkan pihak pengurusan dalam membuat perancangan, terutama apabila tidak mengesahkan jumlah peserta terlebih dahulu sebelum menetapkan kos.
“Rasa kena scam dengan cikgu, tak pergi tapi kena bayar penuh. Bagi saya tak patut cikgu buat macam tu sebab sangat tak adil.
“Patut dia kena confirm siapa pergi baru buat pengiraan bajet,” katanya.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa dengan ada yang bersetuju dengan padangan wanita itu dan ada yang memihak kepada tadika.
Reaksi warga maya
Bagi yang menyokong wanita itu mereka berpendapat tindakan pihak tadika adalah tidak adil.
“Macam kes puan ni dikira tak berkat la duitnya diambil tapi budak tak pergi.
“Anak saya tak pergi program Haji Cilik walaupun dah bayar dalam yuran tahunan… itu pun tadika pulangkan semula duit tu,” katanya.
Bagi warga maya yang menyokong tadika, mereka pula berpandangan seadainya ibu bapa sudah lama memaklumkan dan saat akhir murid tidak dapat pergi ia membawa kerugian buat pihak tadika.
“Jika dah lama maklum dan kita tak inform awal, last minute baru beritahu anak tak ikut, memang salah kita.
“Sebab tadika tak dapat nak bantu apabila dah saat akhir kerana mereka dah booking,” katanya.