RSS Suria

Hati-hati beli ‘luggage’ terpakai di pasar jalanan, risau ada serbuk dadah! Ini 7 peringatan untuk kaki travel

AKTIVITI melancong memang satu pengalaman menyeronokkan namun kita perlu sentiasa berwaspada ketika berada di negara orang.

Ramai terlepas pandang perkara kecil yang akhirnya mengundang masalah besar sebagaimana pengalaman dikongsikan seorang wanita ini di Threads.

Perkongsian ini khusus buat mereka yang suka ke luar negara sama ada untuk kerja atau bercuti.

1. Bangkok – Elak beli beg murah di street market (pasar jalanan)

Insiden yang berlaku di Lapangan Terbang Toronto (YYZ), Kanada mengejutkan ramai apabila seorang wanita ditahan kerana beg miliknya mengandungi kesan serbuk dadah.

Difahamkan beg tersebut dibeli di street market ketika bercuti di Bangkok, Thailand namun tanpa disedari, sisa dadah masih tertinggal di celah zip.

Kini masih dalam proses perbicaraan sejak kes yang berlaku pada Januari lalu.

2. New, Zealand (NZ), Australia – Jangan cuba-cuba bawa makanan

Pihak imigresen di dua negara ini sangat ketat terhadap isu makanan dan boleh dikenakan saman jika didapati bersalah.

Tidak kiralah makanan yang dibawa itu adalah epal atau cili kering untuk dijadikan sambal nasi lemak, ia tetap salah.

Makanan Malaysia boleh didapati dengan mudah di sana jadi lebih baik berjaga-jaga daripada didenda.

Beberapa perkara perlu diberi keutamaan sebelum travel ke negara asing. -Gambar hiasan AI

3. Negara Afrika, Mesir atau Maghribi – Jangan mudah mesra dengan orang asing

Pelancong dinasihatkan agar tidak melayan sapaan orang yang tidak dikenali.

Sekiranya pelancong secara tidak sengaja menyambut teguran, mereka akan dibawa masuk ke dalam kereta untuk menggunakan khidmat tourist guide yang tidak rasmi.

Elakkan berinteraksi dan terus berhubung dengan wakil sah atau ejen pelancongan yang telah ditetapkan.

4. Eropah – Tidak semua berinteraksi dalam bahasa Inggeris

Dinasihatkan supaya belajar untuk berinteraksi dalam bahasa rasmi di negara tersebut.

Sesetengah penduduk tempatan di sana tidak ‘layan’ sekiranya kita berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris.

5. China dan Jepun – Hormati budaya Asia Timur

Tindakan yang dianggap biasa bagi rakyat Malaysia, seperti memicit pipi anak kecil kerana ‘geram’ boleh dianggap biadab di China.

Malah, ada kes di mana pelancong disoal siasat polis kerana perbuatan tersebut.

Di Jepun pula, adab di restoran perlu dijaga dengan mengelakkan daripada mencucuk chopstick tegak atas nasi kerana itu melambangkan kematian dalam budaya mereka.

Hormati adat dan budaya tempatan untuk elakkan salah faham.

7. Amerika Syarikat dan Kanada – Tunjuk bukti penyata kewangan

Antara dokumen penting yang perlu disediakan ialah penyata bank atau bukti kewangan untuk ditunjuk kepada pegawai imigresen.

Ini bagi memastikan pelawat mampu untuk berbelanja dan menanggung diri sepanjang bercuti di negara mereka.

Scroll to Top