KETIKA isu membabitkan penyanyi dan guru vokal, Adzrin Adzhar diherdik oleh pelakon veteran hangat diperkatakan, aktres berpengalaman Fauziah Ahmad Daud tidak cepat melatah apabila ada netizen yang mengaitkan namanya dalam perkara tersebut.
Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy, 63, berkata, dia enggan mengulas lanjut selagi individu terbabit tidak menyebut secara jelas namanya dalam kenyataan yang dibuat.
"Selagi dia tak sebut nama saya, dia dalam zon selamat. Jika tidak peguam saya akan menjawab soalan yang diajukan, semudah itu," katanya kepada mStar.
Ogy tidak mahu namanya dikaitkan dengan dakwaan Adzrin.
Ogy berkata perkara itu ketika ditemui selepas sidang media program Asian Pop Stars yang diadakan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur, pada petang Rabu.
Berkongsi lanjut, Ogy berkata dia hanya pernah bertemu penyanyi dan tenaga pengajar vokal tersebut sekali sahaja sebelum ini iaitu ketika sidang media konsert Ezad Lazim.
Malah Ogy menegaskan dia dan Adzrin tidak pernah bekerjasama dalam mana-mana projek sebelum ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Adzrin Adzhar diherdik pelakon veteran, siap pengaruh produksi gugur nama jadi pengajar… Tak setanding sebab dah 5 dekad dalam industri
ARTIKEL BERKAITAN: Ogy dedah dapat ugutan bunuh, digam empat tahun gara-gara cinta tidak direstui
"Saya pernah bertemu dia sewaktu sidang media konsert Ezad Lazim itu sahaja.
"Kami tak pernah bekerjasama, cuma pernah dengar sahaja nama dia," ujarnya.
Pada Selasa, Adzrin mendakwa dirinya menerima layanan buruk daripada seorang pelakon senior yang turut mempersoalkan keupayaannya sebagai tenaga pengajar.
Luahan Adzrin di Instagram.
Adzrin turut mendakwa pelakon itu meminta pihak produksi menggugurkan namanya daripada menyertai sebuah program seni yang masih dalam perancangan.
Meskipun kecewa dan terluka dengan tindakan pelakon veteran itu, Adzrin bagaimanapun memilih untuk kekal positif dan percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Dia juga tidak menyimpan dendam dan terbuka untuk bekerjasama sekiranya diberi peluang pada masa akan datang.
Sementara itu, program Asian Pop Stars bakal memulakan siaran di RTM bermula 29 November depan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube