PENYANYI Zizi Kirana tampil menjelaskan kekeliruan perkongsian di laman sosial sebelum ini sehingga ada yang mendakwa hubungan perkahwinannya dengan pelakon Yusuf Bahrin bermasalah.
Sekadar berkongsi luahan di platform Threads, Zizi atau Nur Fazelah Mad Tahil, 40, memberitahu ia tidak sepatunya disalah tafsir oleh mana-mana pihak.
Malah ia bukanlah merujuk kepada masalah peribadi yang sedang dialami ketika itu.
Penjelasan Zizi di Instagram.
“Saya dimaklumkan bahawa beberapa status lama saya di Threads serta video TikTok dari tahun 2022 telah diambil dan dijadikan bahan perbualan semula.
“Bagi saya, perkara-perkara itu ditulis dan dikongsikan pada waktunya. Bukan untuk dijadikan naratif hari ini.
“Saya menulis dan berkongsi sebagai seorang manusia sama seperti kalian. Bukan untuk dijadikan babak tambahan dalam cerita sesiapa,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin saling ‘unfollow’ di Instagram, status galau cetus tanda tanya
ARTIKEL BERKAITAN: Yusuf Bahrin sabar menanti rezeki zuriat, kurang selesa sering diaju soalan tentang anak
Zizi menulis perkara tersebut di Instastory miliknya pada Khamis.
Dalam masa sama dia juga menegaskan tidak pernah menjadikan kisah peribadi sebagai sebahagian daripada perjalanan kerjaya seni.
“Saya percaya, seni yang tulen dan jujur tak perlukan kisah peribadi sesiapapun. Sejak awal penglibatan saya dalam dunia seni, saya memang memilih untuk tidak mencampuradukkan hal kerja dan peribadi.
Luahan Zizi sebelum ini menimbulkan tanda tanya.
“Saya memilih untuk tidak mengulas panjang. Cukuplah saya terus mendoakan yang baik-baik untuk semua,termasuk diri saya sendiri,” luahnya.
Sebelum ini isu mula timbul apabila Zizi dan Yusuf dilihat tidak lagi saling menjadi pengikut di media sosial.
Malah beberapa perkongsian luahan dalam laman Threads juga menimbulkan tanda tanya seolah-olah dia memberi bayangan sedang berdepan masalah.
Zizi dan Yusuf mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 selepas berkenalan ketika rakaman program hiburan, All Together Now Malaysia.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube