“KALAU tak ada duit, berhenti belajar,” itulah kata-kata diucapkan seorang ibu yang sehingga kini berbekas di hati anaknya.
Ketika itu, wanita berkenaan dalam keadaan terdesak menunggu wang pinjaman pendidikan yang akan masuk dua minggu lagi, justeru dia menghubungi ibu untuk meminta sedikit bantuan.
Namun cukup menghampakan apabila jawapan sebegitu yang diucapkan si ibu.
Justeru baki wang RM10 yang tinggal digunakan untuk membeli dua bungkus besar mi segera sebagai bekalan.
Zaman belajar menuntut pelajar untuk banyak berkorban. -Gambar hiasan AI
Memulakan cerita, wanita itu berkata, situasi itu hanyalah satu daripada peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam buat dirinya gara-gara sikap ibu dan bapa yang baginya tidak bertanggungjawab.
“Masa saya kahwin, duit kenduri dan belanja semua saya dan suami yang keluarkan tapi tak kisah pun sebab tahu keluarga tak mampu.
“Tapi mak ayah guna separuh duit untuk kenduri dan separuh lagi bagi dekat adik untuk renew roadtax dan servis kereta,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: "Mereka perhati siapa makan banyak" – Wanita geli hati hadap perangai mentua kedekut durian, siap sorok dalam peti sejuk
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu lupa diri dapat duit hibah, boros habiskan RM800,000 sekelip mata! Siap tolong kawan melabur puluhan ribu
Tindakan ibu bapanya itu membuatkan dia marah dan mempersoalkan keputusan mereka memberikan wang kepada adik.
“Tahu apa jadi? Masa kenduri mak fitnah cakap saya tak bagi satu sen pun duit kenduri dan semua guna duit dia. Masa kenduri dia tak keluar rumah.
“Sampai mentua saya kena masuk dalam rumah nak salam mak. Masa kenduri memang tak ada langsung gambar saya sebagai pengantin dengan keluarga sendiri,” katanya.
Bercerita lanjut, katanya, semasa bujang dia selalu membawa ibunya makan di restoran tetapi cuma mampu pergi ke kedai biasa selepas berbadan dua.
- Ibu suruh berhenti belajar bila diminta bantuan kewangan.
- Majlis kahwin dibiayai sendiri tapi ibu dakwa semua dari dia.
- Ibu doakan susah bersalin sebab tak mampu bawa makan mewah.
- Anak autisme dihina sebagai cacat oleh ibu sendiri.
- Sejak kecil sering didoakan perkara buruk oleh ibu.
Perubahan itu menyebabkan ibunya kurang senang hingga sanggup mendoakan agar anaknya itu sukar bersalin.
“Baru kahwin, ekonomi tak stabil kemudian mengandung. Mak tak boleh terima saya bawa dia makan di kedai biasa atau gerai.
“Mak doakan saya susah bersalin, hanya kerana tak mampu bawa makan tempat mahal. Tapi Alhamdulilah tiga anak saya senang bersalin,” katanya.
Reaksi netizen
Bukan itu sahaja, wanita itu turut berkongsi pengalaman pahit lain sejak kecil antaranya pernah didoakan berkahwin dengan penagih dadah dan didoakan mati dalam keadaan hina.
“Kadangkala tertanya-tanya, kalau tak suka sangat saya ni, kenapa tak gugurkan saja masa mengandungkan saya dulu?.
“Saya dah 40 tahun dah terlalu banyak terasa hati. Dah tujuh bulan saya tak jenguk mereka lepas mak hina anak autisme saya sebagai cacat,” katanya.
Netizen dalam pada itu mengakui geram dengan setiap doa yang dilontar ibu wanita terbabit, namun mereka berharap dia tabah menghadapi ujian itu.
“Saya harap awak sekarang dalam keadaan baik bersama keluarga kecil awak. Jaga diri semoga sembuh dari kesakitan ini.
“Jaga kesihatan mental awak juga. Cukuplah apa yang mak awak dah buat sebelum ni. Bina bahagia awak sendiri,” antara komen netzen.