SEORANG pelancong wanita menarik perhatian ramai di media sosial selepas berkongsi pengalaman mendebarkan tatkala mengejar dan menangkap penyeluk saku ketika berada di Paris.
Menerusi perkongsian di Instagram [Tonton Video] , individu dikenali sebagai Rawis Fam, 54, dilihat memegang erat baju seorang wanita dipercayai suspek pencuri.
Menurut Rawis yang berasal dari Indonesia, insiden bermula apabila dia memberikan tempat duduk kepada seorang ibu muda yang sedang sarat hamil di sebuah stesen pengangkutan awam di Paris.
Malangnya, wanita tersebut bersama rakannya merupakan penyeluk saku yang mengambil kesempatan terhadap kebaikannya.
“Niat nak beri tempat duduk kepada wanita hamil, tapi orang yang saya tolong itu pula curi dompet saya. Perjuangan tangkap pencuri di Paris memang luar biasa.
“Emak-emak usia 54 tahun lari naik tangga mengejar pencuri yang lari naik eskalator… dah macam dalam filem,” tulisnya dalam bahasa Indonesia di ruangan kapsyen.
Menurutnya, dia berjaya menangkap salah seorang daripada ahli kumpulan pencuri yang menjadi pengalih perhatian.
Walaupun wanita itu berkeras menafikan dia terlibat, Rawis tetap memegang bajunya selama lebih satu jam sehingga dompetnya dipulangkan.
“Saya tak lepas tangan saya daripada bajunya lebih sejam, akhirnya dia menyerah dan telefon rakannya untuk pulangkan dompet saya,” jelasnya.
Dua individu yang membantu Rawis.
Rawis memaklumkan dia kehilangan sekitar 70 Euro (RM344) kerana beberapa keping duit syiling didapati hilang.
Namun dia bersyukur apabila 350 Euro (sekitar RM1,800) berjaya diperoleh kembali.
Wanita itu mengucapkan terima kasih kepada dua individu yang lalu lalang yang berhenti dan membantunya.
Walaupun pihak pihak berkuasa turut dipanggil, dia memilih untuk tidak meneruskan tindakan lanjut dengan laporan polis.
Bagaimanapun dia meminta polis menasihati individu terbabit supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Dalam komen susulan kepada netizen, Rawis menjelaskan bahawa wanita yang mencuri dompetnya benar-benar sedang hamil sekitar tujuh hingga lapan bulan.
Kisah Rawis menjadi inspirasi ramai kerana kagum dengan keberaniannya sebagai seorang wanita pertengahan usia yang tak gentar mengejar pencuri demi mendapatkan semula haknya.
“Daripada banyak kisah kecurian, ini hebat kerana dapat balik dompet.
“The power of emak-emak Indonesia. Main hentam je awak kan.
“Cari fasal dengan wanita Indonesia, memang salah pilih target.
“Hebat betul puan Rawis! Sebelum diserahkan pada polis, tarik dulu rambut dia puan,” komen beberapa netizen.