RSS Suria

Hisyam Hamid anggap pujian Fazura tiada niat lain, status duda buat netizen kerap ‘kenenkan’ dengan artis wanita

TERIMA pujian daripada Nur Fazura, pelakon Hisyam Hamid menyifatkan tidak ada salahnya sekiranya aktres berkenaan mahu memberi penghargaan kepada rakan artis yang dikenalinya.

Hisyam atau Hazmi Hisyam Abdul Hamid, 40, berkata, pujian diberikan Fazura itu mungkin disebabkan pernah melihat bagaimana cara dia menjaga dan melayan anak-anak dengan baik.

“Saya tengok video siaran langsung itu, dia (Fazura) cerita pun secara umum dan kebetulan kami pernah berlakon sama.

“Mungkin sebab dia tengok cara saya layan anak-anak menyebabkan dia puji daripada sudut itu. Saya tidak rasa dia ada niat lain, kadang-kadang peminat jadi teruja dengan perkongsian tersebut.

Hisyam memegang status bapa tunggal sejak Mei tahun lalu.

“Bagi saya tiada isu pun kalau nak puji sesiapa, lebih-lebih lagi kebaikan yang dibuat sebagai seorang ayah atau ibu,” katanya kepada mStar.

Hisyam berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media tayangan perdana filem Memori yang diadakan di GSC Midvalley, Kuala Lumpur pada malam Selasa.

Dalam pada itu, Hisyam tidak menafikan status bapa dan ibu tunggal membuatkan ramai peminat teruja mengusik untuk menjodohkan mereka.

“Saya rasa isu ‘dikenenkan’ (digosipkan) dengan artis wanita adalah kerana status kami sebagai ibu dan bapa tunggal.

ARTIKEL BERKAITAN: Bahagia pegang status duda… Hisyam Hamid tak terdesak cari pengganti, jawab hubungan dengan penerbit

ARTIKEL BERKAITAN: Anak-anak ‘pendinding’ Hisyam Hamid, bimbang terbawa-bawa watak jahat

“Saya rasa sebab status membuatkan jadi begini, sebelum ini tidak ada pun. Saya pun tak boleh nak buat apa.

“Tapi kalau boleh saya mahu elak daripada kontroversi,” ujarnya.

Ditanya bagaimana respon anak-anak apabila dirinya digosipkan dengan artis wanita, Hisyam memberitahu mereka menyedari setiap gosip yang dikongsi oleh portal berita di media sosial.

Kongsi Hisyam, anak lelakinya malah tidak mahu dia berkahwin lagi kerana sudah mempunyai segalanya termasuk wang dan cahaya mata.

“Ada sekali tu bila dah dikenenkan dengan seorang artis, saya tidak mahulah sebut siapa. Anak saya DM hantar link artikel dah cakap ‘ayah.. run! (lari).

Anak lelaki saya pun ada kata saya tak perlu kahwin kerana sudah ada segalanya.

HISYAM HAMID

PELAKON

“Tapi saya anggap itu satu gurauan. Anak-anak sudah mula untuk belajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kami sekarang ini.

“Anak lelaki saya pun ada kata saya tak perlu kahwin kerana sudah ada segalanya tetapi mak saya menegur cakap tak baik kata macam itu sebab saya masih muda,” jelasnya.

Pelakon filem Memori ini bagaimanapun memberitahu dia sebolehnya tidak mahu dikaitkan dengan apa-apa kontroversi bagi memberi contoh terbaik buat anak-anak.

“Daripada dulu siapa yang kenal saya tahu keluarga adalah keutamaan. Kalau lihat saya tiada kontroversi sebelum ini bukan kerana saya baik tetapi mahu jadi contoh terbaik buat anak-anak.

“Lagipun mereka dah besar dan sudah ada kawan-kawan yang kenal siapa saya. Kesihatan mental mereka adalah keutamaan saya,” katanya.

Sebelum ini, Fazura dalam sesi siaran langsung di TikTok berkongsi pandangan terhadap beberapa pelakon lelaki di Malaysia.

Hisyam (kiri) sentiasa memberi keutamaan kepada anak-anak.

Fazura menyifatkan Hisyam seorang yang baik dan mempunyai ciri lelaki pentingkan keluarga.

Tambah aktes berkenaan, dia senang bekerja dengan Hisyam menerusi filem lakonan mereka iaitu Dendam Pontianak.

Untuk rekod, Hisyam mendirikan rumah tangga dengan Rosmawati Hanafi pada 2006, namun ikatan perkahwinan itu terlerai selepas mereka bercerai pada Mei 2024.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 18, dan Haydeen, 16 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top