PENYANYI dan pelakon Andi Bernadee mendedahkan kakinya mengalami kecederaan selepas terjatuh dalam satu insiden yang berlaku kira-kira dua bulan lalu.
Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 35, berkata kejadian itu berlaku ketika dia sedang berjalan dan tiba-tiba rebah sebanyak tiga kali.
"Aku tengah ada masalah dengan kaki. Dua bulan lepas, aku rebah tiga kali… Tengah berjalan tiba-tiba jatuh.
"Kenapa perkara itu berlaku, aku tak boleh nak kongsi secara terbuka risau ada yang panas. Tapi sejak daripada itu, kaki aku memang terjejas," katanya menerusi perkongsian di Instastory pada Jumaat.
Andi amalkan diet tersendiri untuk turunkan berat badan.
Menurut Andi, tidak ramai yang mengetahui keadaannya, namun dia dia dalam usaha untuk kembali pulih dan memperkuatkan semula kakinya.
Disebabkan itu juga, Andi mula berjinak-jinak dengan sukan pickleball yang kini menjadi trend.
"Sebenarnya ia beri kesan besar, cuma orang tak nampak. Aku memang rasa perbezaannya… kaki aku dah tak sekuat dulu.
"Aku main pickleball pun sebab nak kuatkan semula kaki. Ia bantu latih daya tahan dan pergerakan kaki," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Persaingan lagu raya hebat tahun ini, Andi Bernadee hormat teguran Waheeda
ARTIKEL BERKAITAN: Khidmat kejut sahur hanya gurauan, Andi Bernadee bukan mainkan perasaan peminat
Dalam masa sama, Andi turut berkongsi bahawa dia kini lebih menjaga pemakanan dan kesihatan selepas ditegur oleh pihak produksi ketika menjalani penggambaran sebelum ini.
Katanya, dia mengambil keputusan untuk menurunkan berat badan demi penampilan diri, bukan kerana desakan sesiapa.
"Boleh berhenti tanya kenapa aku kurus. Aku kurus untuk diri aku sendiri, bukan untuk sesiapa. Tahun lepas aku gemuk, muka nampak kembang waktu penggambaran.
"Sampaikan sebab ada double chin, aku terpaksa ubah posisi muka di depan kamera," jelasnya.
Andi minta orang ramai tidak salah anggap dengan penampilan baharunya.
Andi turut menegaskan bahawa dia tidak mengambil sebarang ubat atau bahan terlarang bagi tujuan menurunkan berat badan.
"Aku tak ambil Ozempic atau dadah. Alhamdulillah, aku jauh dari benda tu. Aku cuma makan dua kali sehari dalam kuantiti kecil.
"Makan malam aku tak ambil, hanya makan buah-buahan. Jadi tak perlulah risau. Aku sihat dan okay, Alhamdulillah," kongsinya lagi.
Sebelum ini, perubahan fizikal Andi mendapat perhatian netizen selepas dia berkongsi aktiviti sukan pickleball bersama rakan-rakan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube