SELEPAS kejayaan luar biasa program Jalan Pulang siri pertama, dua pendakwah terkenal Ustaz Dr. Ashraff Amirul dan Da’i Izzhar Nazri kembali bergabung dalam projek istimewa bertajuk Jalan Pulang: Tenang & Menang di Akhir Zaman.
Siri kedua itu membawa mesej yang lebih mendalam tentang ketenangan jiwa dan perjuangan menghadapi fitnah akhir zaman.
Menurut Ashraff, program kali ini menekankan pentingnya kembali kepada Allah sebagai jalan keselamatan dalam menghadapi zaman yang penuh fitnah.
"Imu akhir zaman adalah antara pengisian program tersebut. Pada tahun 2015, saya mendapati tanda-tanda kecil kiamat kecil telah berlaku sebanyak 80 peratus.
Izzhar Nazri (kanan) dan Ashraff Amirul bakal menghidupkan program Jalan Pulang: Tenang & Menang Di Akhir Zaman
"Justeru, hanya mereka yang kembali kepada Allah dengan hati yang hidup, akan menjadi orang yang selamat di akhir zaman," katanya.
Ashraff Amirul berkata demikian dalam satu sidang media yang turut dihadiri oleh Izzhar serta Pengurus Jenama Radio Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, Da’i Izzhar berkata, pendekatan yang dibawa dalam program kali ini menggabungkan garis masa akhir zaman bersama kaedah spiritual psikologi khusus buat mereka yang bergelut dengan pelbagai ujian hidup.
"Gabungan Timeline Akhir Zaman, digandingkan dengan kaedah spiritual psikologi yang boleh membawa luka dan segala ujian pulang ke satu jalan yang paling tenang dan bahagia iaitu jalan pulang kepada Allah," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Lima program Islamik lahirkan pendakwah selebriti, ramai juga popular dengan pelbagai isu!
ARTIKEL BERKAITAN: Bergurau kongsi sejarah seks… PU Syed label trend S-Line sebagai ‘kebodohan yang dipilih’
Katanya lagi, pendekatan yang diambil juga lebih segar dan moden dengan lokasi yang lebih santai serta penyampaian kontemporari yang dekat dengan jiwa anak muda.
Selain sesi ilmu, peserta juga bakal disajikan dengan perkongsian inspirasi dan momen refleksi diri yang menyentuh emosi serta membangkitkan kesedaran spiritual.
Pengurus Jenama Radio Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor, berkata gandingan dua penceramah popular itu dijangka memberikan pengalaman yang luar biasa dan berbeza kepada para peserta.
Jalan Pulang: Tenang & Menang Di Akhir Zaman akan berlangsung di dua lokasi bermula 23 Ogos ini.
“Da’i Izzhar dan Dr Ashraff memiliki kepakaran masing-masing dalam dunia motivasi dan ceramah berkaitan akhir zaman.
“Saya yakin dengan sambutan segmen mereka di radio Zayan, program Jalan Pulang ini bakal meletakkan satu tanda aras baharu yang dakwah boleh disampaikan dalam gaya penuh santai demi menarik pengikut dalam kalangan anak muda," katanya.
Program Jalan Pulang: Tenang & Menang Di Akhir Zaman akan berlangsung di Kelantan pada 23 Ogos dan Kuala Lumpur pada 25 Oktober depan.