RSS Suria

Emas nilai hampir RM1 juta lesap, Kieda yakin ‘kerja’ orang sekitar! Simpan di rumah untuk ‘sumber kekuatan’

GEMPAR apabila pempengaruh dan usahawan ‘dessert’ (pencuci mulut), Siti Nur Khalieda Yusra atau Kieda, 27, mendedahkan kediamannya dipecah masuk sehingga mengalami kerugian mencecah RM800,000.

Dalam kejadian pada 25 April lalu itu, Kieda berkata dia kehilangan barang kemas yang mempunyai nilai sentimental tinggi serta sejumlah wang tunai.

Bercerita lanjut kepada mStar, Kieda menjelaskan tujuan dia menularkan insiden rompakan tersebut adalah sebagai jalan terakhir untuk mendapatkan keadilan ke atas harta bendanya yang dicuri.

Kieda menyayangi barang kemas yang dimilikinya.

“Selepas buat laporan pada malam kejadian, polis ada minta saya dan suami untuk tidak bersuara dahulu tentang rumah kami dirompak supaya dapat beri ruang siasatan dijalankan. Kami akur, tapi hingga hari ni genap 40 hari, masih belum ada sebarang jawapan.

“Kami takut lagi lama kami tunggu, lagi tipis peluang untuk barang kemas kami diselamatkan, mungkin sudah dileburkan di mana-mana kedai emas. Saya trauma dan saya sangat rindu barang kemas saya, lagi sedih kebanyakannya adalah hadiah pemberian suami.

“Antara kehilangan yang saya paling terkesan adalah gelang emas berukuran 2.1 sentimeter (cm), paling besar yang saya pernah ada, suami bagi sebagai sebagai hadiah hari jadi saya waktu tahun 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: Crepe viral pelbagai perisa dihumban dalam tong sampah, Kieda menangis tanggung rugi hampir RM10,000!

ARTIKEL BERKAITAN: Kieda Crepe bikin orang marah lagi! Buat ‘tour’ di Shah Alam tapi tak mampu urus… Pelanggan beratur 3 jam kecewa tak dapat beli

“Selain tu, ada juga duit raya hari tu yang kami simpan hilang, tapi syukur peranti elektronik dalam rumah seperti telefon pintar dan tablet mereka tak ambil,” kata Kieda yang menetap di Kampung Aman, Pokok Sena, Kedah sejak kecil.

Mengimbas semula detik kejadian, Kieda yakin pelaku merupakan orang tempatan yang mengetahui selok-belok rumahnya dan kawasan setempat.

“Ataupun warga asing yang diupah oleh orang tempatan. Saya berani cakap begini sebab rumah langsung tak berselerak waktu dipecah masuk, pencuri tu boleh tahu terus dekat mana saya simpan barang kemas.

Barang kemas ni boleh dikatakan sebagai sumber kekuatan, saya perlu sentiasa berada dekat dengannya.

SITI NUR KHALIEDA YUSRA

“Untuk makluman, saya simpan barang kemas dalam peti besi yang mahal harganya, berat dekat 200 kilogram (kg). Pencuri tu mungkin dalam dua hingga empat orang, mereka sama-sama angkat peti besi letak atas kereta. Bau pencuri tu ada lagi dekat rumah waktu kami sampai sebab rumah kami biasa wangi.

“Laluan keluar masuk pun mereka tahu mana yang tak ramai orang supaya susah kantoi. Lepas tu mungkin mereka larikan peti besi tu ke tempat yang ada kelengkapan alat gerudi dan sebagainya, sebab saya pasti bukan senang nak pecahkan.

“Ada yang tanya kami kalau ada cuba ikhtiar alternatif, ya kami cuba juga. Antaranya kami panggil pelajar tahfiz buat bacaan Yasin tujuh mubin dan solat hajat di rumah. Saya pun sikit lagi nak terlajak ke Siam, tapi batalkan niat sebab takut syirik,” ujar Kieda.

Kieda seterusnya menjelaskan sebab dia menyimpan barang kemas sebegitu banyak di rumah dan bukan di bank atau kedai pajak emas yang keselamatannya lebih terjamin.

Antara barang kemas milik Kieda yang hilang dicuri.

“Barang kemas ni boleh dikatakan sebagai sumber kekuatan, saya perlu sentiasa berada dekat dengannya. Bermacam-macam kecaman saya hadap setiap hari sebab nama saya sebagai Kieda Crepe yang hampir satu Malaysia kenal.

“Benda tu boleh melemahkan semangat saya sebab saya pun manusia biasa. Jadi untuk kembalikan semangat, sesekali saya akan buka peti besi dan belek barang kemas yang saya berjaya kumpul. Kembali ceria hati ni.

“Bukanlah saya naif sangat, langkah keselamatan saya dan suami tetap ambil. Kamera litar terutup (CCTV) dan jeriji besi kami pasang, tapi benda nak jadi kan. Untuk rekod, ini kejadian rompakan pertama di rumah kami ni.

“Sebelum ni tahun lepas, pernah kedai perniagaan kami hampir dirompak, tapi nasib baik sempat dipatahkan. Pelakunya orang yang kami kenal juga, seorang penagih dadah,” jelas Kieda.

Keadaan rumah Kieda selepas dipecah masuk.

“Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Supt Zulkeflee Sulaiman berkata siasatan kes rompakan rumah Kieda masih diteruskan, namun setakat ini suspek yang terlibat belum dikenal pasti.

“Siasatan masih berjalan, kita tak tutup (kes). Memang suspek belum dikenal pasti sebab tiada saksi yang nampak kejadian itu berlaku.

“Kita ada temukan tujuh kesan cap jari di lokasi kejadian, tetapi semakan mendapati tiada satu pun cap jari itu yang ada rekod dalam pangkalan data jenayah kita,” ujarnya memetik The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top