RSS Suria

Makcik elak dipeluk pemuda, rupanya anak yang amat dirindu! Bakal guru perjelas kenapa ibu tak cam dirinya

DIPISAHKAN oleh Laut China Selatan, seorang ibu terkejut melihat kemunculan anak lelakinya dari Semenanjung selepas tiga tahun tidak berjumpa.

“Mak tak tahu balik Sabah, sebab tu terkejut tiba-tiba muncul depan mata. Dia ingat bukan anaknya,” demikian keterangan video di TikTok.

Video berdurasi 43 saat itu ternyata mengundang sebak netizen, apatah lagi melihat reaksi si ibu yang tidak menyangka lelaki yang duduk di sebelahnya rupa-rupanya adalah anak sendiri.

Menerusi video itu, dapat dilihat wanita tua tersebut terkejut apabila seorang pemuda ‘berisi’ yang duduk di sebelah cuba untuk memeluknya dan dia cuba mengelak.

Lelaki berkenaan, Mohd Asri Sameun berkata, kejutan dibuat di sebuah kompleks sukan di Tawau, pada 1 Jun lalu selepas dia pulang dari Kuala Lumpur.

Menurut pemuda berusia 25 tahun itu, ketika itu ada acara besar sedang berlangsung di mana anak saudara menyertainya dan semua keluarga turut berada di situ.

“Dulu saya kurus dengan berat 55 kilogram (kg), dan sekarang 65kg. Kulit saya juga semakin cerah berbanding dulu lebih gelap kerana berjemur tengah panas di kampung.

“Sebelum tu kakak saya yang duduk di sebelah mak, sebelum diganti dengan saya yang pakai mask dan selepas tanggal mask, saya terus peluk mak, memang mak terkejut sebab masih ingat saya di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi mStar.

Asri terpaksa menangguhkan rancangan pulang ke kampung kerana tiket penerbangan mahal.

Mengulas lanjut, Mohd Asri yang mesra dengan panggilan Kuang tidak pulang ke kampung halamannya di Felda Umas, Tawau kerana mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Geografi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

“Saya belajar dari 2019, masa pandemik Covid-19 dulu saya balik ke kampung dan belajar secara online pada 2020. Selepas itu, kembali ke kampus untuk pengajian secara fizikal pada 2022.

Dapat layanan mak depan mata buat saya bersyukur sangat.

MOHD ASRI SAMEUN

“Selepas tamat pengajian, saya bekerja sebagai service crew di Cheras. Memang ada rancangan nak balik ke kampung tapi tiket penerbangan mahal lebih-lebih lagi masa raya.

“Masa belajar dulu lagilah terasa mahal. Jadi, saya tangguhkan dulu untuk balik ke kampung sebab cuti panjang hanya boleh diambil masa raya,” ujar Asri sambil menambah ibunya berusia 68 tahun.

Asri merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Geografi dari UPSI.

Menurut anak bongsu daripada lapan beradik itu, dia kemudian membuat keputusan untuk berhenti kerja pada Mei lalu demi meneruskan hasratnya pulang ke kampung.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak pulang mengejut selepas 2 tahun terpisah, bapa tersedu-sedu imamkan solat Maghrib – “Rasa bersalah pula buat ayah sebakâ€

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Wanita’ berpurdah tiba-tiba muncul waktu malam depan mak… hanya bertahan 5 minit, renjer hutan takut terkeluar suara jantan terus buat kejutan gubahan duit!

“Mak selalu tanya bila nak balik, rasanya sudah hampir 10 kali. Bulan lepas, saya beritahu mak yang saya buat keputusan untuk berhenti kerja.

“Cuma saya tak beritahu tiket sudah dibeli, sebab itu mak tertanya-tanya. Mak saya sangat penyayang dan orangnya lemah-lembut,” tambahnya.

Kerinduan Asri terhadap ibu terubat selepas pulang ke kampung.

Bersyukur bersama keluarga di kampung, kata Asri dia akhirnya dapat melepaskan kerinduan terhadap ibu dan mengambil peluang keemasan itu sebaik-baiknya.

“Paling saya rindu adalah layanan mak. Tak tahu nak cakap, tapi dapat layanan mak depan mata buat saya bersyukur sangat.

“Saya kini sedang menunggu sesi temuduga untuk menjadi guru. Selepas ni tak tahu saya posting dihantar bertugas ke mana. Jadi selagi ada di kampung ini, saya akan gunakan peluang untuk bersama mak dan keluarga,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top