RSS Suria

Asheed Def Gab C tetap buat konsert walau derita sakit sendi, janji persembahan bertenaga

PENYAKIT sendi yang dideritainya sejak 20 tahun lalu tidak akan menghalang vokalis kumpulan Def Gab C iaitu Asheed memberikan persembahan bertenaga menerusi konsert Merah Hitam pada 31 Ogos depan.

Sebaliknya kata Asheed atau Mohd Ashid Ahmad, 51, dia percaya dengan kemampuan dan pengalaman sebagai penyanyi untuk menampilkan persembahan terbaik buat peminat.

“Tahap kesihatan saya baik-baik sahaja, kalau setakat 10 buah lagu itu saya masih mampu.

“Saya cuma tak boleh menyanyi secara terus menerus sampai dua jam… Seperti orang berlari marathon, bila sudah sampai had mereka juga perlukan rehat.

Copy of Untitled - 2024-06-13T120747.386

Asheed ditemui ketika sidang media Konsert Merah Hitam pada Rabu.

“Konsert ini akan uji kemampuan saya tapi insya-Allah saya mampu lakukannya,” katanya kepada mStar.

Asheed berkongsi perkara itu ketika sidang media konsert Merah Putih yang berlangsung pada Rabu.

Sebelum ini Asheed mendedahkan dia menderita penyakit sendi yang bukan sahaja menganggu nyanyian tetapi kehidupan sehariannya.

Malah penyanyi itu memberitahu sudah menghabiskan ratusan ribu ringgit bagi merawat penyakitnya namun tidak berhasil.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Bertanding dalam kesakitan akibat sakit sendi, Asheed (Def Gab C) kagum dapat bertahan 9 minggu dalam GV

ARTIKEL BERKAITAN: Vokal sesuai lagu tapi ada peserta lebih bagus, Asheed (Def Gab C) tersingkir suku akhir GV9

Dalam pada itu, Asheed berkata, walaupun menanggung kesakitan namun dia tidak pernah berputus asa malah sebelum ini tetap mengadakan persembahan pentas seperti biasa.

“Selama ini pun saya tak berehat, kalau ada persembahan di luar saya boleh nyanyi lebih daripada lima buah lagu.

“Macam mana pun kami tetap akan buat latihan untuk konsert ini bagi tambahkan lagi power dalam nyanyian,” jelasnya.

Bercakap mengenai persediaan konsert, Asheed memberitahu dia dan Def Gab C bakal ‘berkurung’ di studio untuk mendapatkan ilham demi hasilkan persembahan luar biasa.

Kalau setakat 10 buah lagu itu saya masih mampu.

ASHEED

VOKALIS DEF GAB C

“Kami akan mulakan latihan bermula minggu depan perancangannya sebab tinggal dua bulan lebih saya masa yang ada.

“Banyak yang kami perlu bincangkan. Mungkin kami semua akan masuk studio ‘berkurung’, buat latihan sehingga kami betul-betul cukup mantap,” katanya.

Selain Asheed, Def Gab C turut dianggotai oleh Jemboo (Gitar), Ahtonk (Drum) dan Epyn (Bass).

Def Gab C bakal bergabung satu pentas bersama kumpulan Kristal X menerusi konsert Merah Hitam yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.

Mengulas berkenaan pemilihan tarikh konsert yang jatuh pada Hari Kebangsaan, Asheed percaya konsert ini bakal mendapat sambutan yang baik.

Copy of Untitled - 2024-06-13T120801.454

Def Gab C menjanjikan persembahan bertenaga untuk peminat.

Menurutnya, konsert ini ada tarikan tersendiri malah, ia turut menjadi pentas bagi peminat-peminat lama Def Gab C menggamit kenangan masa muda mereka.

“Walaupun tarikh 31 Ogos itu akan ada banyak konsert lain memandangkan jatuh pada hari Merdeka tetapi saya percaya yang peminat-peminat kami tetap akan datang.

“Konsert ini akan menggamit nostalgia dan kenangan peminat kami dari tahun 90-an dulu, konsert ini sangat istimewa untuk mereka,” ujarnya.

Konsert yang dibawakan oleh Shoreline Space bakal menampilkan suntikan artistik tersendiri dari segi tema, gubahan lagu dan kreativiti persembahan.

Orang ramai boleh dapatkan tiket bermula dari harga RM178 (CAT 1), RM148 (CAT 2), RM318 (CAT 3), RM248 (CAT 4) dan RM3,500 (CAT 5) di laman web myticketasia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Scroll to Top