RSS Suria

Isteri buat kejutan, pengantin lelaki gugur air mata di pelamin… Potret perkahwinan sekeluarga pengubat rindu arwah ibu ayah

HARI perkahwinan pastinya menjadi saat paling bermakna untuk diraikan bersama insan tersayang terutama sekali ibu bapa dan ahli keluarga.

Namun tidak bagi pengantin lelaki ini yang kehilangan ibu bapanya tanpa sempat melihatnya ke jenjang pelamin pada Sabtu.

Kisah menyentuh hati itu dikongsikan oleh sahabat baiknya, Fiza Sinha menerusi hantaran di TikTok yang mengundang sebak warga maya.

Faris menangis selepas melihat gambar lukisan arwah ibu bapanya.

“Tengok kawan baik sendiri kahwin tanpa ibu dan ayah pada hari paling besar dalam hidupnya memang menyedihkan,” tulisnya pada video berkenaan.

Dalam video tersebut, kelihatan pengantin lelaki, Faris Rahman menangis selepas membuka hadiah diberikan oleh isterinya, Zee.

Difahamkan, hadiah tersebut diberi sempena hari lahir suami Zee dan ia merupakan sebuah lukisan potret mereka berdua bersama ibu bapa masing-masing.

Faris mengalirkan air mata sejurus melihat gambar berkenaan, sedih mengenangkan ibu bapanya tidak dapat hadir ke majlis perkahwinannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin perempuan menangis teresak-esak lalu pengsan, sukar terima hakikat kahwin suami lebih tua

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin baharu menangis dalam kereta, enggan beraya rumah keluarga suami… Hati tak tenang fikir mulut bisa mak mentua!

“Hadiah ulang tahun kelahiran yang sangat menyentuh hati daripada isterinya.

“Dia (Zee) upah orang untuk recreate (hasilkan semula) gambar kahwin mereka dengan ibu ayah Faris (yang telah meninggal dunia) bersama-sama ibu ayah Zee.

“Walaupun sekadar ukiran gambar, besar nilainya bagi seorang anak yang telah merasai kehilangan orang tua. Perkara tu sangat tak mudah untuk dia,” tulis Fiza menerusi ruangan kapsyen.

Menurut Fiza, dia juga tidak dapat menahan sebak melihat sahabatnya menangis di atas pelamin.

Sepanjang uruskan majlis, terlalu banyak momen yang tak tertahan sebak di dada.

FIZA SINHA

“Barakallah sahabatku, Zee dan suami,Faris Rahman. Selamat menempuh alam perkahwinan. Semoga Allah memberi rahmat dunia akhirat. Sampai syurga ya.

“Maafkan suara saya yang tak dapat menahan tangis, momen tu terlalu hiba. Sepanjang uruskan majlis, terlalu banyak momen yang tak tertahan sebak di dada.

“Kita simpan sini memori. Mana yang kurang daripada pihak keluarga pengantin, saya mewakili keduanya memohon maaf jika ada kekurangan ya,” katanya.

Video yang dimuat naik pada Sabtu itu meraih lebih 600,000 jumlah tontonan selepas disiarkan di TikTok.

gambar

Lukisan ibu dan ayah (baris belakang, dua dari kiri) yang disatukan bersama pengantin.

Rata-rata netizen turut meluahkan rasa sebak mereka apabila melihat pengantin lelaki ini menangis melihat gambar berkenaan.

“Pengantin belum buka hadiah lagi saya dah mula nangis.

“Adoi tak boleh la tengok lelaki menangis, tambah-tambah bab mak ayah.

“Isterinya sangat menghargai suami. Semoga bahagia sampai ke syurga,” komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Scroll to Top